Pindaan Perlembagaan berkait kerakyatan dibentang pada Jun, kata Azalina

Pindaan Perlembagaan berkait kerakyatan dibentang pada Jun, kata Azalina

Pindaan itu memastikan anak lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia mendapat taraf kerakyatan automatik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata ada beberapa isu sedang diselesaikan terutama melibatkan isu dua kewarganegaraan.
PETALING JAYA:
Kerajaan dijangka membentangkan cadangan pindaan membenarkan taraf kerakyatan automatik kepada anak dilahir ibu warga Malaysia di luar negara, pada sidang Dewan Rakyat, pada Jun.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata ada beberapa isu sedang diselesaikan.

“Rang undang-undang pindaan Perlembagaan Persekutuan dijangka dibentang pada sidang akan datang memandangkan masih terdapat beberapa isu yang perlu dibincangkan, terutama isu dua kewarganegaraan.

“Jawatankuasa Jemaah Menteri berhubung isu kewarganegaraan sudah dibentuk dan kini membincangkan isu melibatkan kewarganegaraan untuk persidangan akan datang,” katanya memberi makluman kepada pertanyaan media.

Persidangan pada Jun, selama 10 hari bermula 12 Jun di Dewan Rakyat dijadual melibatkan pembentangan dan perbahasan berhubung rang undang-undang dan hal ehwal kerajaan lain.

Azalina berkata, perkenan Majlis Raja-Raja juga diperlukan bagi rang undang-undang tersebut.

Hanya selepas itu, rang undang-undang pindaan akan dibentang dan diundi di Dewan Rakyat, seterusnya dibawa ke Dewan Negara, katanya.

Langkah terakhir sebelum pindaan berkuat kuasa adalah mendapatkan perkenan Agong untuk diwartakan.

Bulan lalu, dalam kenyataan bersama dengan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Azalina berkata, cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan adalah untuk menggantikan perkataan “bapanya” dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua kepada “sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya”.

“(Ini) bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak seadilnya menurut Perlembagaan Persekutuan,” kata mereka.

Ketika ini, anak dilahirkan di luar negara oleh wanita rakyat Malaysia tidak layak mendapat kewarganegaraan automatik memandangkan Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan perkara itu menerusi bapa sahaja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.