
Sehubungan itu, beliau berkata, satu buku garis panduan baharu diperkenal untuk dijadikan rujukan bagi menilai pihak berkelayakan menjadi penjaga kepada kanak-kanak berkenaan.
“Garis panduan ini diwujudkan untuk memastikan kesesuaian penempatan kanak-kanak di bawah ibu bapa peliharaan atau Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS).
“Bawah garis panduan ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperkenalkan sistem saringan penggunaan Penaksiran Psikologi Personaliti (Tajma) iaitu suatu alat ukur psikologi yang direka bentuk untuk memberikan data saintifik tentang diri seseorang individu mengenai pemikiran, perasaan dan tingkah laku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan buku garis panduan baharu berkenaan.
Nancy berkata, melalui penaksiran berkenaan, kesesuaian ibu bapa peliharaan dalam aspek penjagaan, pemeliharaan dan perlindungan kanak-kanak dapat diteliti secara lebih terperinci.
Beliau berkata, Jawatankuasa Panel Penempatan Kanak-Kanak kepada OYLS peringkat negeri juga telah diwujudkan yang dipengerusikan oleh pengarah kebajikan masyarakat negeri untuk memastikan kesesuaian penempatan kanak-kanak dengan mengambil kira pelbagai aspek.
Katanya, selain itu, pihaknya juga mengadakan sesi dialog awam dijadual petang ini bagi membincangkan isu-isu semasa kanak-kanak dan cabaran yang dihadapi pelindung.
“Selain memperkasa dan meningkatkan peranan dan fungsi, mengukuhkan persediaan mental dan fizikal untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam mengendalikan pengurusan kes pemeliharaan dan perlindungan kanak-kanak secara holistik,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata sepanjang 2022, kementerian melalui JKM telah mengendalikan sebanyak 6,781 kes yang melibatkan penderaan fizikal, seksual, emosi dan pengabaian.
“Sehingga kini, seramai 185 penolong pegawai pembangunan masyarakat (PPPM) dilantik dan diwartakan pada fasa pertama 2021 dan pelantikan 158 PPPM akan diteruskan, pada 2023.
“Pertambahan pegawai secara kontrak ini secara tidak langsung akan membantu dalam memberikan fokus kepada pengurusan kes kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan,” katanya.