Jangan samakan kes Muhyiddin seperti Najib, kata Wan Fayhsal

Jangan samakan kes Muhyiddin seperti Najib, kata Wan Fayhsal

Ketua Pemuda Bersatu berkata kes Muhyiddin berbeza kerana tidak terlibat skandal kewangan terbesar dunia seperti 1MDB.

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata kes menimpa presidennya, Muhyiddin Yassin berkait isu pendanaan politik.
KUALA LUMPUR:
Pemuda Bersatu berpendirian tiada pihak patut menyamakan kes dihadapi presidennya, Muhyiddin Yassin seperti pendakwaan terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata kes Muhyiddin berbeza kerana tidak terlibat skandal kewangan terbesar dunia seperti 1MDB.

“Kes ini (pendakwaan terhadap Muhyiddin) bukan sama kes terhadap Najib, (umpama) ‘apple and orange’.

“Orang Melayu lebih pandai menilai mana yang permata dan mana yang kaca,” katanya di Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu kali ke-4.

Semalam, Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan salah guna kuasa berkait program Jana Wibawa, mendapatkan RM232.5 juta untuk partinya, Bersatu, serta dua tuduhan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM195 juta.

Pada 28 Jul 2020, Najib disabitkan oleh Mahkamah Tinggi atas kesalahan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 23 Ogos tahun lalu, Najib mula menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengekalkan sabitan ke atasnya.

Dalam pada itu, Wan Fayhsal berkata, kes menimpa Muhyiddin itu adalah berhubung isu pendanaan politik.

Katanya, tidak menjadi kesalahan untuk menerimanya. Namun, beliau menyerahkan kepada mahkamah menentukannya.

“Saya akan pastikan ahli parti dan pimpinan akan pertahankan beliau (Muhyiddin),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wan Fayhsal juga berkata, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Umno dikatakan selama-lamanya menjadi liabiliti kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ini terbukti apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) sendiri mencampuri perjalanan politik Umno.

“Sekarang survival Umno ialah untuk kepentingan kerajaan PH dan kelangsungan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

“Mungkin dahulu, Umno berupaya untuk mencipta survival mereka sendiri. Tetapi sekarang, Umno hanya mampu merayu belas kasihan kerajaan untuk mereka kekal relevan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.