Belum ada keputusan batal Sistem Imigresen Bersepadu Nasional, kata Saifuddin

Belum ada keputusan batal Sistem Imigresen Bersepadu Nasional, kata Saifuddin

Menteri dalam negeri berkata KDN diberi tempoh sehingga bulan depan untuk menyediakan dan mengemukakan nota kepada Jemaah Menteri yang memerlukan keputusan hala tuju mengenai projek berkenaan.

Saifuddin Nasution Ismail berkata projek berkenaan berjalan hampir dua tahun dari tarikh mula diberikan kontrak pada Mac 2021 dan sepatutnya disiapkan pada Ogos 2025. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk membatalkan kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang diperoleh IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) diberi tempoh sehingga bulan depan untuk menyediakan dan mengemukakan nota kepada Jemaah Menteri yang memerlukan keputusan hala tuju mengenai projek ini.

“Setakat ini, belum ada keputusan (untuk batalkan kontrak syarikat). Benar mesyuarat Kabinet ada membincangkan dan ada saya mengangkat kertas nota kepada Jemaah Menteri untuk tujuan perbincangan (projek NIISe). Nota itu bermaksud pemakluman tentang kemajuan projek itu, manakala Memo Jemaah Menteri pula memerlukan keputusan dasar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) kali ke-29 dan ke-30 di Maktab Polis Diraja Malaysia di Cheras hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan Jemaah Menteri memutuskan untuk membatalkan projek NIISe yang diberikan kepada IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd, yang dikaitkan dengan menantu bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.

Laporan berkenaan yang memetik sumber menyatakan projek itu mengalami kelewatan dan hanya 10% daripada projek itu siap, walaupun ditawarkan pada 2020.

Menjelaskan perkara berkenaan, Saifuddin berkata projek berkenaan berjalan hampir dua tahun dari tarikh mula diberikan kontrak pada Mac 2021 dan sepatutnya disiapkan pada Ogos 2025.

Bagaimanapun, katanya, sehingga bulan ini, syarikat terbabit belum mencapai tahap kemajuan projek seperti dijadualkan.

Justeru, beliau sebagai menteri bertanggungjawab harus melaporkan kepada Jemaah Menteri kerana projek NIISe menelan perbelanjaan hampir RM1.2 bilion.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab, saya harus melindungi kepentingan pengguna, iaitu Jabatan Imigresen bagi mengelakkan ia menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata KDN melalui Jabatan Imigresen amat mengharapkan kejayaan projek berkenaan menggantikan sistem sedia ada berusia 20 tahun.

Mengulas sama ada nota kepada Jemaah Menteri yang akan disediakan itu mungkin ke arah tindakan membatalkan kontrak berkaitan, beliau enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak mahu spekulasikan atau membuat sebarang andaian terlebih dahulu tentang keputusan yang bakal dibuat kelak mengenai projek berkenaan.

“Hendak sebut batal atau terus, mudah tapi dia mesti ada asasnya dan asas itu mesti berpaksikan kepada apakah kayu ukurnya dan memerlukan satu indikator yang mana satu projek bersaiz besar begitu dia ada tempoh tahun pertama, kedua dan ketiga kemajuan yang dicapainya.

“Kita hendak teliti juga punca kelewatan sama ada disebabkan tenaga kerja atau kekangan modal. Maka hal ini, perlu diteliti KDN sebelum kami menentukan hala tujunya dalam bentuk keputusan Jemaah Menteri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.