
Pada 1 Mac lalu, pasukan pembelaan rosmah membatalkan rayuan itu dengan memfailkan notis untuk tidak meneruskan prosedur.
Rayuan itu dijadual didengar pada 17 Mac ini.
Dalam surat bertarikh 2 Mac, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Noor Firdaus Rosli memberitahu Tetuan Geethan Ram yang mewakili Rosmah bahawa rayuan itu dikira terbatal menurut Peraturan 73 Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1994.
Peguam Rosmah Geethan Ram Vincent dan Timbalan Pendakwa Raya Poh Yin Tinn mengesahkan perkara itu.
Mahkamah Rayuan dijadual mendengar sama ada ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan Rosmah dan permohonanya untuk menyingkirkan Hakim Mohamed Zaini Mazlan daripada mendengar perbicaraan.
Rayuan itu berhubung keputusan Zaini sendiri pada 25 April tahun lalu yang menolak permohonan Rosmah yang mahu beliu menarik diri daripada kes berkenaan.
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu tidak mahu Zaini menjadi hakim perbicaraannya, kerana mendakwa beliau kemungkinan berat sebelah kepadanya selepas mendengar dan mensabitkan Rosmah dalam kes terdahulu membabitkan kes tenaga solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.
Vincent berkata, rayuan itu tidak diteruskan kerana Zaini tidak lagi mendengar perbicaraan itu kerana dinaikkan ke Mahkamah Rayuan.
Pada 1 Sept lalu, Zaini mendapati Rosmah bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.
Bagaimanapun Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Rosmah kini berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu antara 4 Dis 2013 hingga 8 Jun 2017.
Perbicaraan dijadual selama 15 hari bermula 12 Mei ini kini berlangsung di depan Hakim K Muniandy.