Polis tahan lelaki, rampas dadah RM3.5 juta

Polis tahan lelaki, rampas dadah RM3.5 juta

Dadah jenis syabu seberat 35.486kg ditemui selepas polis menyerbu sebuah pangsapuri di Kuching, Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Mohd Azman Ahmad Sapri menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang lelaki dan merampas dadah seberat 35.486kg dianggarkan bernilai RM3.5 juta dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Stutong Baru, Kuching, Sarawak,  Rabu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata dadah jenis syabu itu ditemui selepas pihaknya menahan seorang lelaki dalam sebuah kereta di pekarangan pangsapuri itu pada 1 tengah hari.

“Pemeriksaan dalam kereta lelaki itu menemui 12 paket syabu seberat 12.447g.

“Dadah itu diletakkan dalam bungkusan didakwa produk minuman untuk mengelirukan pihak berkuasa,” katanya menurut Berita Harian.

Azman berkata, suspek berusia 37 tahun itu kemudian membawa polis ke kediamannya di pangsapuri berkenaan.

“Pemeriksaan menemui 22 paket dadah seberat 22.676kg dan satu paket plastik lut sinar mengandungi 363g dadah.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah sejak pertengahan 2021,” katanya memaklumkan ia jumlah rampasan dadah terbesar di Sarawak dalam tempoh Januari hingga 9 Mac lalu.

Beliau berkata, dadah itu dibawa masuk ke Sarawak menggunakan perkhidmatan kurier daripada sindiket pengedaran di Semenanjung.

“Suspek kemudian menghantar dadah dibungkus itu ke lokasi di mana pengguna dari Kuching dan daerah berhampiran lain akan mengambilnya.

“Kami menganggarkan dadah dirampas itu mampu menampung keperluan kira-kira 177,430 penagih,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tujuh rekod mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Ujian air kencing turut mendapati suspek positif ketamin dan direman hingga 15 Mac ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.