Guna tauliah mengajar untuk perkara betul, bukan peribadi, titah Sultan Selangor

Guna tauliah mengajar untuk perkara betul, bukan peribadi, titah Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin Idris Shah turut mengingatkan penceramah supaya tidak menyelitkan lawak jenaka yang melampau sehingga masyarakat hanya mengingati lawak berbanding ilmu yang disampaikan

Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berpesan kepada para pemegang tauliah supaya tidak mencampuradukkan isu agama dengan politik kepartian dan permusuhan sesama Islam. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan individu yang diberikan tauliah mengajar supaya menggunakan tauliah mengajar pada situasi yang betul, bukan untuk kepentingan peribadi.

Baginda turut meminta penceramah supaya fokus kepada ilmu yang ingin disampaikan dan bukannya jenaka yang diselitkan dalam penyampaian ceramah mereka.

“Mereka juga hendaklah menggunakan tauliah mengajar pada situasi yang betul, bukannya untuk kepentingan dan keuntungan peribadi.

“Tidak menyelitkan lawak jenaka yang melampau sehingga masyarakat hanya mengingati lawak berbanding ilmu yang disampaikan, yang akhirnya akan menyebabkan masyarakat lebih tertarik kepada penceramah hanya kerana lawaknya tetapi bukan kepada ilmunya,” titah baginda lapor Bernama.

Sultan Sharafuddin yang bertitah menerusi hantaran di Facebook, Selangor Royal Office turut menyeru umat Islam di Selangor agar memahami dan menghayati inti pati khutbah Jumaat bertajuk ‘Tauliah Mengajar, Suatu Keperluan’ yang dibacakan oleh khatib di masjid-masjid seluruh negeri, hari ini.

Baginda turut berpesan kepada para pemegang tauliah supaya tidak mencampuradukkan isu agama dengan politik kepartian dan permusuhan sesama Islam, atau menyelitkan perkara yang cenderung mendatangkan benci atau penghinaan terhadap mana-mana agama, kerajaan dan permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk di negara ini.

Baginda menegaskan bahawa keperluan tauliah mengajar agama bukan untuk menghalang atau menyusahkan seseorang yang ingin mengajar agama, sebaliknya ia adalah langkah pencegahan bagi memenuhi maqasid syariah dalam aspek memelihara agama Islam.

Baginda bertitah hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan luas mengenai agama Islam sahaja boleh diberikan tauliah untuk mengajar atau berceramah di masjid atau surau di negeri ini.

“Bagi memastikan agama Islam terus terpelihara daripada sebarang anasir penyebaran ajaran salah, fitnah-memfitnah serta bersangka buruk yang boleh menimbulkan kesan negatif terhadap agama, masyarakat dan negara, maka tauliah diperlukan,” titah baginda.

Baginda turut senada dengan khatib yang menyeru agar semua pemegang tauliah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) perlu mematuhi undang-undang dan arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa agama pada setiap masa.

“Pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerap menerima aduan bahawa masih terdapat masjid atau surau yang mengundang penceramah tanpa tauliah. Malah penceramah yang tahu tentang keperluan mendapatkan tauliah di Selangor ini masih terus mencuba untuk memberi ceramah di masjid dan surau tanpa tauliah.

“Apabila kebenaran ceramah di masjid dan surau tidak diberikan atas alasan tiada mempunyai tauliah, pihak berkuasa agama dipersalahkan dan diperlekehkan kononnya menghalang usaha-usaha dakwah dilakukan di masjid dan surau,” titah baginda.

Justeru baginda mengingatkan kepada sesiapa yang ingin mengajar agama atau diundang untuk mengajar di masjid atau surau seluruh Selangor, untuk memohon tauliah mengajar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.