Bersih gesa SPR keluar laporan semua pilihan raya selepas PRU14

Bersih gesa SPR keluar laporan semua pilihan raya selepas PRU14

Badan pemantau pilihan raya berkata data dalam laporan itu penting sebagai sumber maklumat bagi penyelidikan.

Bersih berkata setiap laporan pilihan raya perlu memperincikan pecahan bilangan parti, calon, petugas pilihan raya, keputusan dan perbelanjaan ditanggung.
PETALING JAYA:
Bersih menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan laporan mengenai semua pilihan raya berlangsung selepas PRU14, termasuk PRN.

Pengerusi Bersih, Thomas Fann, berkata laporan itu berfungsi sebagai rekod kekal bagi semua pilihan raya diadakan dan sumber maklumat bagi mereka yang menjalankan penyelidikan atau laporan.

Katanya, laporan itu akan memperincikan pecahan bilangan parti, calon, petugas pilihan raya, serta keputusan dan perbelanjaan ditanggung dalam setiap pilihan raya.

“SPR tidak menyediakan laporan pilihan raya tepat pada masanya. Laporan PRU14 hanya diterbitkan pada September 2022, empat tahun selepas pilihan raya itu diadakan.

“Keluarkan laporan. Lebih baik lewat daripada langsung tiada,” katanya.

Menurut laporan Bersih mengenai PRU15 baru-baru ini, banyak kesalahan pilihan raya berlaku sepanjang tempoh kempen, termasuk penyebaran maklumat salah dan pengaruh kerajaan yang tidak wajar.

“Laporan kami mengenai kesalahan pilihan raya hanya sebahagian kecil daripada keadaan sebenar. Penting untuk kami dibekalkan dengan laporan SPR untuk maklumat menyeluruh,” kata Fann ketika melancarkan laporan Bersih hari ini.

Bersih merekodkan 58 insiden meraih undi menggunakan insentif material, 13 insiden penyebaran maklumat tidak tepat, dan 11 insiden penyalahgunaan aset kerajaan. Bersih turut menerima 27 laporan kes “yang mungkin diklasifikasikan sebagai pengaruh kerajaan tidak wajar”, dan lima dakwaan rasuah.

Badan pemantau pilihan raya itu memberi SPR senarai cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan, daripada menambah baik proses pilihan raya untuk orang kurang upaya dan pengundi pos, kepada meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang “lapuk”.

“Terdapat kira-kira sejuta rakyat Malaysia di luar negara, tetapi hanya lebih sedikit daripada 40,000 yang berdaftar sebagai pengundi pos.

“Bagi orang kurang upaya, kita bertanggungjawab memudahkan mereka mengundi,” kata Fann.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.