Banjir dan air pasang, penduduk Batu Pahat diminta berjaga-jaga

Banjir dan air pasang, penduduk Batu Pahat diminta berjaga-jaga

Pertembungan kedua-dua situasi itu akan menyebabkan berlakunya kenaikan paras air di kawasan rendah, kata pegawai daerah.

Susulan peningkatan bilangan mangsa banjir di Batu Pahat, tiga IPTA digunakan menempatkan mangsa banjir sejak semalam, kata Pegawai Daerah Batu Pahat Nasri Md Ali. (Gambar Bernama)
BATU PAHAT:
Penduduk di daerah ini diminta berjaga-jaga dengan sebarang kemungkinan susulan banjir yang masih belum reda dan fenomena air pasang yang dijangka berlaku sehingga Ahad ini.

Pegawai Daerah Batu Pahat Nasri Md Ali, yang juga pengerusi Jawatankuasa Bencana daerah, berkata situasi tersebut akan menyebabkan berlakunya kenaikan air di kawasan rendah di daerah itu terutamanya Parit Raja dan Sri Medan.

“Pertembungan situasi berkenaan dan pertambahan air dari empangan berhampiran daerah ini akan memberi kesan kepada kawasan yang rendah,” katanya.

“Keadaan ini dijangka menyebabkan berlakunya peningkatan bilangan mangsa banjir di daerah ini walaupun keadaan cuaca ketika ini panas …penduduk diingatkan supaya berjaga-jaga.”

Katanya, setakat 12 tengah hari tadi, seramai 38,135 orang daripada 10,683 keluarga ditempatkan di 111 pusat pemindahan sementara (PPS) di Batu Pahat.

Nasri berkata, susulan peningkatan bilangan mangsa banjir di daerah itu, tiga institut pengajian tinggi awam (IPTA) digunakan untuk menempatkan mangsa banjir sejak semalam.

Sementara itu, menurutnya, situasi banjir di daerah ini belum dianggap “banjir termenung” kerana air masih mengalir dari Sungai Rengit dan Sungai Segamat serta air empangan berhampiran dibuka pada tahap minimum.

“Kami turut menerima cadangan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengepam (air) di kawasan tertentu. Bagaimanapun ia tidak boleh dilakukan sehingga keadaan air stabil.

“Kami jangka empat hari atau seminggu akan datang (akan melakukan proses pam) …kita berdoa agar hujan berhenti supaya gerak kerja dapat dilakukan secepat mungkin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.