
Bagaimanapun katanya, perdana menteri memaklumkan, beliau mahu “mencuba” dalam usaha kerajaan perpaduan mengecilkan saiz Jemaah Menteri berbanding pentadbiran sebelum ini.
“Saya sudah menyampaikan pandangan saya kepada perdana menteri sejak pembentukan Kabinet. Namun beliau nak mencuba. Saya hormat keinginannya untuk mencuba dulu,” katanya kepada FMT.
Namun katanya, beliau khuatir kerana dalam usaha kerajaan untuk berjimat, tiga Wilayah Persekutuan – Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan – akan kerugian besar dari segi kecekapan, memandangkan ia boleh dianggap sebagai sebuah negeri yang sedang pesat membangun.
“Menidakkan Kementerian Wilayah Persekutuan adalah tidak tepat. Walaupun kita mencapai sedikit penjimatan, kita hilang kecekapan dan keberkesanan.
“Akhirnya kita kerugian dan ia mungkin melebihi keuntungan dari penjimatan tadi,” tambahnya.
Bekas Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata seperti juga sebuah negeri yang memerlukan menteri besar atau ketua menteri, Wilayah Persekutuan harus ditadbir seorang menteri.
“Wilayah Persekutuan boleh dianggap sebagai sebuah negeri. Ianya negeri yang paling pesat membangun.
“Ia perlu diurus oleh seorang menteri dan timbalan menteri yang dibantu oleh kementeriannya,” kata Khalid.
Nada sama disuarakan Ahli Parlimen Jelebu dari Umno Jalaluddin Alias yang meminta kerajaan mempertimbangkan pelantikan seorang menteri khusus untuk menjaga hal ehwal Wilayah Persekutuan, selepas ia distruktur menjadi sebuah jabatan.
Ketika bercakap di Dewan Rakyat kelmarin, Jalaluddin berkata, sebagai sebuah jabatan, fungsi dan punca kuasanya sudah tentu lebih kecil dan terdapat kekangan dalam melaksanakan pelbagai urusan melibatkan rakyat, berbanding kementerian.
Jalaluddin adalah timbalan menteri Wilayah Persekutuan ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob, manakala menterinya adalah Annuar Musa.
Kementerian Wilayah Persekutuan kini dikenali sebagai Jabatan Wilayah Persekutuan dengan pentadbirannya diletakkan bawah Jabatan Perdana Menteri.