
Presiden Umno itu berkata, isu campur tangan luar bagi tujuan menyelamatkan parti itu tidak timbul, sebaliknya keputusan itu termaktub melalui klausa dalam Akta Pertubuhan 1966 yang memerlukan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) mengabsahkan sesuatu keputusan.
“Tiada campur tangan luar kerana ada dua pengadu yang mencabar usul yang dikemukakan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada 2022,” katanya dalam sidang media di Parlimen.
“Usul itu diteliti oleh pengerusi tetap yang mengikut semua peraturan dalam PAU dan semua frasa dalam Perlembagaan. Perlu diketahui badan tertinggi dalam Umno ialah perhimpunan agung, dan perhimpunan agung membuat keputusan terbabit, dengan diterima lebih 95% perwakilan.
Sungguhpun begitu, katanya, aduan tersebut masih disantuni dan Umno terus memberikan maklum balas kepada JPPM.
Ditanya mengenai bekas pemimpin Umno yang mempersoalkan keabsahan keputusan berkenaan, Zahid menganggap itu pandangan peribadi mereka.
“Saya merasakan bahawa pandangan itu adalah pandangan peribadi (mereka). Akta Pertubuhan 1966 adalah akta yg diluluskan Parlimen, (jadi) jika ada yg tak puas hati dengan keputusan itu, boleh buat aduan dan bawa ke mahkamah,” katanya.
Hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mempertahankan keputusan Saifuddin memberikan pengecualian kepada Umno.
“Undang-undang memerlukan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) merujuk (perkara itu) kepada menteri dan undang-undang memberinya kuasa tertentu,” katanya.
Pada Selasa, Saifuddin mengesahkan Umno diberikan pengecualian mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 mengenai resolusi dibuat pada perhimpunan agung parti agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.
Mengikut Seksyen 70, menteri diberi kuasa menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan akta tersebut.
Khairy, yang dipecat Umno pada Januari, menuduh Saifuddin menggunakan kuasa eksekutif untuk membebaskan perbuatan menyalahi undang-undang.