
“Bab bantuan telah ditanya, tidak ada secara khusus bantuan dari segi geran atau pun kewangan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, katanya, pemain industri pelancongan boleh memanfaatkan beberapa pakej diumumkan dalam Belanjawan 2023.
“Pakej ini boleh dimanfaatkan oleh penggiat industri antaranya kemudahan automasi dan digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) oleh Bank Negara (BNM).
“Program transformasi pendigitalan PKS oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan dana impak Khazanah Nasional dalam bidang digitalisasi dan teknologi tinggi dengan tumpuan khas bagi menyokong syarikat pemula dan modal insan tempatan,” katanya.
Sementara itu, katanya, kerajaan juga menubuhkan jawatankuasa khas iaitu jawatankuasa kecil “Smart Tourism” bagi merancang dan melaksana inisiatif berkaitan pelancongan pintar.
“Ini kerana kementerian memandang serius usaha mengintergrasi penggunaan teknologi dalam industri pelancongan, menerusi dasar pelancongan 2020 sehingga 2030,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Tan Kok Liang memaklumkan peruntukan untuk sektor pelancongan bawah Belanjawan 2023 kurang memberangsangkan.
Beliau berkata, jumlah itu tidak mencukupi untuk menyokong pemain industri dalam usaha memulihkan sektor pelancongan akibat pandemik Covid-19.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2023 mengumumkan peruntukan RM250 juta untuk industri pelancongan.