
Peguam Mohammad Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun memaklumkan mahkamah, pihak pembelaan menutup kesnya selepas pensyarah kanan bidang psikologi perkembangan kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai selesai memberi keterangan.
“Pihak pembelaan tidak mempunyai saksi lain dengan berakhirnya keterangan saksi pembelaan kelapan (Abdul Rahman), pihak kami (pembelaan) menutup kes hari ini,” katanya.
Hakim Izralizam Sanusi kemudian memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada 7 April ini, manakala 14 April bagi hujahan balas sebelum mahkamah membuat keputusan di akhir kes pembelaan pada 3 Mei ini, sama ada untuk menyabitkan atau membebaskan Siti Bainun daripada pertuduhan itu.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pembelaan dan pendakwaan kerana memberi kerjasama menyelesaikan kes hari ini dan keputusan di akhir kes pembelaan pada 3 Mei 10 pagi,” kata hakim itu.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas dan Shakira Aliana Alias.
Terdahulu, saksi pembelaan ketujuh, Sarjan Siti Nur Balqes Abdul Rahim, 34, memberitahu mahkamah, Bella dilihat agak ketakutan, namun menunjukkan reaksi positif pada sesi temu bual dikendalikan Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC).
Siti Nur Balqes yang juga pegawai penemubual CIC berkata, ketika itu, Bella ditemani seorang pegawai wanita dari Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk sesi temu bual yang mengambil masa 20 minit.
“Pada pandangan saya, Bella pada mulanya takut, tetapi dia mula bercakap dan bagi saya agak positif reaksinya sebagai kanak-kanak kurang upaya,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh peguam Farhan.
Semasa dirujuk rakaman temu bual CIC mengenai Bella yang teragak-agak menjawab berhubung isu air panas, Siti Nur Balqes berkata, dia tidak perasan.
Farhan: Daripada video kita tonton sebentar tadi, saya perlukan kepastian puan. Apabila bertanyakan berkenaan air panas, kanak-kanak itu seperti susah mahu menjawab pertanyaan itu. Puan perasan tak.
Siti Nur Balqes: Tidak.
Dalam prosiding hari ini, Izralizam mengarahkan galeri awam dikosongkan bagi memberi laluan kepada tayangan rakaman video temu bual CIC itu di mahkamah.
Kepada soalan TPR Azizah mengenai pergerakan tangan Bella bukannya merujuk menuang air panas, tetapi mengangkat (tangan) saja dalam rakaman video CIC itu dan saksi berkenaan menjawab tidak setuju.
Pada 24 Nov 2022, mahkamah memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu, selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Siti Bainun, 31, kemudian memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi, iaitu disoal peguamnya terlebih dahulu semasa pemeriksaan utama dan kemudian pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.