Muhyiddin tak mungkin ditahan semalaman, kata sumber

Muhyiddin tak mungkin ditahan semalaman, kata sumber

Sumber berkata, SPRM membuat keputusan tidak menahan bekas perdana menteri itu selepas mengambil kira tahap kesihatannya.

Muhyiddin Yassin dijangka menghadiri solat hajat dengan pemimpin dan penyokong Perikatan Nasional malam ini.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin yang akan didakwa atas pertuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa esok, tidak mungkin ditahan semalaman oleh pihak berkuasa.

Sumber memberitahu FMT, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat keputusan tidak menahan Muhyiddin selepas mengambil kira tahap kesihatannya.

Menurutnya, agensi antirasuah itu hanya akan menahan presiden Bersatu itu untuk mengambil keterangannya.

“Beliau akan dibebaskan, tetapi notis akan dikeluarkan untuk beliau hadir di mahkamah esok,” kata sumber yang enggan dinamakan itu.

Tetapi, sumber itu tidak pasti jika Muhyiddin akan dibebaskan dengan atau tanpa jaminan.

Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris berkata, Muhyiddin akan dibebaskan malam ini dan menghadiri solat hajat dengan pemimpin serta penyokong Perikatan Nasional.

Terdahulu, sumber lain dilaporkan berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu akan didakwa dengan empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Pertuduhan salah guna kuasa itu dilakukan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Muhyiddin sebelum ini memberi keterangan kepada SPRM berhubung projek yang diberikan di bawah Jana Wibawa, inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera yang diperkenalkan ketika beliau menjadi perdana menteri.

Dua pemimpin Bersatu – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad – didakwa di mahkamah bulan lalu atas tuduhan menerima rasuah berhubung projek membabitkan Jana Wibawa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.