Kerajaan tak tolak kemungkinan laksana semula GST, kata Ahmad Maslan

Kerajaan tak tolak kemungkinan laksana semula GST, kata Ahmad Maslan

Tetapi, timbalan menteri kewangan itu berkata, GST tidak akan dilaksanakan tahun ini.

Ahmad Maslan berkata, kerajaan masih mengkaji impak pelaksanaan GST dalam situasi ekonomi semasa dan menilai waktu sesuai diperkenalkan semula bagi membantu meningkatkan hasil negara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan belum “menoktahkan” kemungkinan pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada masa akan datang, kata Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan.

Beliau berkata, kerajaan masih mengkaji impak pelaksanaan GST dalam situasi ekonomi semasa dan menilai waktu sesuai untuk diperkenalkan semula bagi membantu meningkatkan hasil negara.

“Kerajaan belum bercadang mengembalikan GST seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2023. Namun, kita masih tidak menoktahkan (perbincangan) GST ini, cuma ia tidak akan dilaksanakan tahun ini.

“GST boleh jadi cukai progresif jika kita melaksanakannya pada kadar sifar kepada barangan yang digunakan golongan B40,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang ingin tahu sama ada kerajaan perpaduan akan memperkenalkan semula GST yang membebankan rakyat sebelum ini.

Dalam pada itu, Ahmad menjelaskan GST dilaksanakan kira-kira 90% negara di seluruh dunia, termasuk negara yang mengenakan cukai dikenali sebagai cukai nilai tambah (VAT).

“Sebanyak 174 negara melaksanakan GST dan tidak mungkin mereka silap dalam membuat keputusan.

“Oleh itu, pada masa depan, GST ini boleh membantu (negara) mendapatkan pendapatan lebih, yang seterusnya boleh digunakan untuk membantu rakyat susah dan menoktahkan kemiskinan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.