Jelaskan pengecualian untuk Umno, Saifuddin diberitahu

Jelaskan pengecualian untuk Umno, Saifuddin diberitahu

Jika Umno tidak melanggar undang-undang, tiada keperluan untuk pengecualian itu diberikan, kata penganalisis.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan (kanan) dan presiden Ahmad Zahid Hamidi tidak akan dicabar pada pemilihan parti.
PETALING JAYA:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail digesa menjelaskan keputusannya memberikan pengecualian kepada Umno bawah Akta Pertubuhan 1966 bagi resolusi dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Penganalisis Universiti Sains Malaysia (USM), Azmil Tayeb berkata, pengecualian yang diberikan oleh Saifuddin menetapkan duluan dan mungkin menjadi petanda tidak baik bagi penyokong Pakatan Harapan (PH).

“Ini kerana kerajaan sedang menjalankan agenda reformasi,” katanya kepada FMT.

“Jika Umno tidak melanggar undang-undang, tidak ada keperluan untuk pengecualian itu (diberikan),” katanya.

Pada Selasa, Saifuddin mengesahkan bahawa Umno diberikan pengecualian menurut Seksyen 70 Akta Pertubuhan.

Mengikut seksyen itu, menteri diberi kuasa menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan akta tersebut.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin telah mengkritik keputusan Saifuddin untuk memberikan pengecualian buat parti itu.

Khairy, yang dipecat oleh Umno pada Januari, menuduh Saifuddin menggunakan kuasa eksekutif untuk membebaskan perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Sementara itu, seorang pemimpin Umno yang enggan namanya didedahkan, berkata keputusan Saifuddin itu hanya akan menimbulkan lebih banyak persoalan dalam kalangan ahli parti.

“Jelas sekali, pengecualian Saifuddin untuk peruntukan itu berlaku kerana Umno tidak mematuhi Akta Pertubuhan,” katanya sambil menambah, menteri itu mesti menjelaskan keputusannya.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) bagaimanapun berkata, menteri dalam negeri mempunyai budi bicara untuk mengecualikan sesebuah organisasi daripada mana-mana peruntukan Akta Pertubuhan dan pembangkang tidak perlu mempersoalkan perkara ini.

“Hanya pengundi yang tidak sedar akan kuasa menteri dan mudah terpengaruh akan menjadi mangsa propaganda pembangkang,” katanya.

Beliau juga berkata, komen Khairy mengenai perkara itu sudah dijangka tetapi tidak akan diambil kira oleh ahli Umno kerana beliau bukan lagi ahli parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.