
Loke berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengarahkan beliau membincangkan perkara itu. Kementerian Pengangkutan terbuka untuk menerima cadangan daripada sektor swasta, tambahnya.
“Perdana menteri berkata, kita terbuka kepada sebarang cadangan, asalkan ia pelaburan swasta. Oleh itu, belum ada keputusan untuk menghidupkan kembali HSR, tetapi kami tidak menghentikannya.
“Belum ada cadangan muktamad. Tiada garis masa kerana perjanjian dua hala dengan Singapura telah ditamatkan oleh kerajaan terdahulu.
“Tidak ada keperluan mendesak untuk mencapai sebarang peringkat, oleh itu, kita terbuka kepada mana-mana mekanisme atau model,” katanya kepada pemberita selepas satu majlis di sini.
Bulan lalu, Singapura menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan cadangan Malaysia menghidupkan semula program HSR secara “clean slate”.
Menteri Kedua Hal Ehwal Luar Singapura, Maliki Osman, berkata negara itu bersedia untuk melihat “sebarang cadangan” yang mungkin ada di Malaysia.
Ditanya sama ada Anwar telah membangkitkan isu itu semasa lawatan rasmi seharinya ke Singapura pada 30 Jan, Maliki berkata beliau tidak pasti.
“Namun, kami sudah menyatakan perkara itu sekiranya ada sebarang minat, sila beri cadangan kepada kami,” katanya.
Malaysia dan Singapura pada mulanya telah menandatangani perjanjian dua hala pada 2016 untuk projek rel sepanjang 350km. Ia sepatutnya siap pada 2026 dan mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan republik itu kepada 90 minit.
Projek kereta api itu telah dimansuhkan pada 1 Jan 2021, oleh kerajaan pimpinan Perikatan Nasional. Malaysia akhirnya terpaksa membayar pampasan RM320 juta kepada Singapura sebagai syarat mengikut perjanjian berkenaan.
Dilaporkan, Singapura enggan menerima cadangan Putrajaya mengeluarkan pembekal sistem dan pengendali rangkaian HSR, yang sepatutnya bertanggungjawab kepada kedua-dua negara.