Najib lanjut pengajian pasca siswazah dalam penjara

Najib lanjut pengajian pasca siswazah dalam penjara

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata bukan perkara asing bagi banduan melanjutkan pengajian ketika dipenjarakan.

Pada 23 Ogos tahun lalu Najib Razak mula menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengekalkan sabitan ke atasnya dalam kes SRC International.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Najib Razak kini melanjutkan pengajian pada peringkat pasca siswazah di dalam penjara, kata Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam temu bual dengan Sin Chew Daily, menteri dalam negeri itu berkata, bukan perkara asing bagi banduan di Penjara Kajang melanjutkan pengajian sambil menjalani hukuman.

“Najib kini isi masa dengan menyambung pengajian pada peringkat pasca siswazah,” katanya.

“Di penjara Kajang, malah ada (antara banduan) yang mendapatkan ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD).”

Pada 28 Julai 2020, Najib disabitkan oleh Mahkamah Tinggi atas kesalahan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan menolak permohonannya untuk membatalkan keputusan dan hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi.

Pada 23 Ogos tahun lalu, Najib mula menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengekalkan sabitan ke atasnya.

Walaupun berada dalam penjara, Najib masih giat berkongsi pandangannya mengenai hal ehwal negara.

Apabila ditanya sama ada bekas Ahli Parlimen Pekan itu mempunyai akses kepada media sosial, Saifuddin berkata, tidak.

“Dia sedang dipenjara di Kajang, tetapi dia ada pasukan medianya sendiri. Saya dimaklumkan pasukannya yang merakamkan pandangannya di media sosial.

“Tetapi tentang sama ada dia ada akses kepada sebarang peranti, jawapannya, tidak. Percayalah, saya orang yang mempunyai kuasa dalam perkara ini,” kata Saifuddin.

Saifuddin berkata, tindakan Najib menyatakan pandangannya tidak berbeza dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengeluarkan kenyataan ketika dipenjarakan di Sungai Buloh (antara Februari 2015 dan Mei 2018).

“Sama seperti Anwar, ketika sebelum ini berada dalam penjara. Apabila hadir di mahkamah, beliau akan mengeluarkan komen spontan atau nota untuk diterbitkan.

“Najib berada di dalam penjara tetapi fikirannya masih bebas,” kata Saifuddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.