Langkah wajibkan industri ambil pelajar praktikal dibimbangi jejas pelaburan, kata MEF

Langkah wajibkan industri ambil pelajar praktikal dibimbangi jejas pelaburan, kata MEF

Sebaliknya, MEF menyarankan agar kerajaan memberikan tumpuan kepada menambah baik sistem bagi menggalakkan majikan menyediakan tempat untuk latihan industri.

Dilaporkan bahawa kira-kira 40,000 pelajar IPT sukar mendapat tempat untuk latihan industri disebabkan pelbagai faktor, termasuk ketiadaan syarikat yang menyediakan tempat.

PETALING JAYA:Kumpulan majikan terbesar di negara ini bimbang jika kerajaan mewajibkan industri mengambil pelajar praktikal, suasana pelaburan di negara ini akan menjadi kurang menarik.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman berkata, kerajaan sepatutnya fokus kepada menyediakan templat mudah untuk diguna pakai semua majikan yang secara sukarela mahu memberikan latihan industri kepada pelajar.

“Dari segi kesan jangka panjang, jika majikan swasta diwajibkan mengambil pelajar untuk latihan industri, suasana pelaburan negara akan menjadi kurang menarik.

“Ini boleh menjejaskan usaha kerajaan untuk menarik lebih banyak pelabur berkualiti ke Malaysia,” katanya kepada FMT.

Katanya, kerajaan sepatutnya memberikan tumpuan kepada menambah baik sistem penempatan pelajar praktikal, termasuk memantapkan kerjasama antara institut pengajian tinggi (IPT) dengan majikan.

“Tidak wajar mewajibkan majikan sektor swasta mengambil pelajar praktikal. Selama ini majikan sektor swasta secara sukarela memberikan tempat untuk pelajar menjalani latihan industri.

“MEF berpendapat bahawa sistem yang sedia ada untuk menempatkan pelajar mengikuti latihan industri boleh ditambah baik agar isu pelajar sukar mendapat tempat latihan dapat diatasi dengan penglibatan semua pemegang taruh.

“Perlu diwujudkan kerjasama lebih erat antara majikan dan IPT untuk sentiasa memperbaiki sistem penempatan latihan industri yang lebih baik dan tersusun. Pihak universiti juga harus memantau pelajar yang menjalani latihan secara berkala untuk mengetahui perkembangan pelajar berkenaan.”

Selain itu, katanya, kerajaan juga sepatutnya membimbing majikan mengenai perkara yang perlu diterapkan kepada pelajar supaya latihan industri menjadi lebih efektif dan memberikan manfaat maksimum.

Syed Hussain mengakui kerajaan ada memberikan bantuan kepada industri, termasuk pengecualian cukai, sebagai balasan menyediakan tempat latihan untuk pelajar, tetapi ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh majikan kerana prosesnya terlalu ketat.

“Tatacara untuk mendapat pelepasan cukai terlalu sukar, menyebabkan kebanyakan majikan tidak menuntut pelepasan cukai berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan ia sedang meneliti saranan mewajibkan industri mengambil pelajar praktikal melalui akta atau peraturan, susulan dakwaan pelajar IPT sukar mendapat tempat latihan industri, menurut Utusan Malaysia.

Perkembangan itu menyusuli saranan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Mohd Izani Mohd Zain kepada kerajaan agar mewajibkan agensi kerajaan dan syarikat swasta mengambil pelajar praktikal untuk mereka mendapatkan pengalaman dalam industri berdasarkan bidang yang dipelajari.

Katanya, kira-kira 40,000 pelajar IPT sukar mendapat tempat untuk latihan industri, yang menjadi syarat tamat pengajian, disebabkan faktor-faktor seperti tiada syarikat yang bersesuaian dengan pengajian, majikan enggan membayar elaun, atau menolak menerima kakitangan bagi tempoh yang pendek.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.