Hanya 17% peruntukan diterima negeri pembangkang, dakwa Tuan Ibrahim

Hanya 17% peruntukan diterima negeri pembangkang, dakwa Tuan Ibrahim

Timbalan presiden PAS berkata kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli negeri pembangkang menerima peruntukan perbelanjaan keseluruhan 50% adalah tidak tepat.

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata keseluruhan projek di empat negeri pembangkang amat sedikit berbanding diperoleh Sabah iaitu 18% dan Sarawak sebanyak 15%.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) mendakwa empat negeri ditadbir pembangkang hanya menerima 17% peruntukan pembangunan secara keseluruhan.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kenyataan dikeluarkan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bahawa negeri pimpinan pembangkang menerima peruntukan perbelanjaan keseluruhan sebanyak 50% adalah tidak tepat.

“(Berdasarkan) fakta dibangkitkan (ketika sesi penggulungan usul Belanjawan 2023) oleh Menteri Ekonomi tadi jelas bahawa negeri yang dikuasai pembangkang tidak mendapat peruntukan seimbang.

“Sebagai contoh, dalam jawapan tadi, ada menyebut 443 projek dengan RM1.4586 bilion untuk Kedah, Kelantan ada 4,025 projek dengan RM1.545 bilion dan Perlis, 153 projek, dengan jumlah peruntukan RM560 juta.

“Kalau kita campur keseluruhan peratusan diumumkan tadi, Kedah hanya peroleh 4% peruntukan, Kelantan 7%, Terengganu pula 4% dan Perlis hanya 2%. Jadi keseluruhannya hanya 17%,” katanya menurut Berita Harian.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, keseluruhan projek di empat negeri pembangkang amat sedikit berbanding diperoleh Sabah, iaitu 18% dan Sarawak, sebanyak 15%.

“Ini bukan soal dengki, ini soal fakta. Negeri pembangkang (didakwa) diberi kuota lebih 50%.

“50% ini kalau kita lihat, ia termasuk Sabah, Sarawak, ini bukan (negeri) pembangkang. Kedua-dua negeri ini menyokong kerajaan hari ini. Pembangkang hanya Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis. Jadi kami bangkitkan, jawapan menteri (Rafizi) tadi tidak begitu tepat,” katanya.

Beliau turut meminta fakta berkenaan disemak semula kerana didakwa mengelirukan sidang Dewan Rakyat.

Terdahulu, Rafizi ketika menggulung usul Belanjawan 2023 berkata, peruntukan negeri pimpinan pembangkang sebenarnya sudah ada, yang mana melalui Belanjawan 2023, sehingga 50% perbelanjaan pembangunan asas diperuntukkan kepada negeri termiskin di Malaysia, iaitu Sabah, Sarawak, Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Katanya, pemimpin di negeri ditadbir PN diminta bekerjasama untuk membabitkan rakyat miskin tegar dan B40 dalam program bantuan dilaksanakan kerajaan persekutuan, bukan hanya memohon peruntukan demi peruntukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.