
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata empat Adun Angkat itu dilantik berdasarkan kawasan paling hampir dengan mereka dalam usaha menguruskan masalah dihadapi pengundi di kawasan DUN itu.
“Sebenarnya apabila empat Adun (Bersatu) itu keluar Pakatan Harapan (PH) pada 2020, kami telah lantik yang baharu. Cuma setiap tahun kami kemas kini untuk mengambil perubahan itu sebagai pengiktirafan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pasar Chowrasta sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa.
Chow yang juga pengerusi PH Pulau Pinang berkata, tindakan melantik Adun Angkat terdiri daripada beberapa Adun menguruskan kawasan itu bagi membolehkan rakyat dan pengundi tidak merasa terpinggir selain dilindungi kerajaan negeri dengan peruntukan sama di kawasan masing-masing.
Beliau berkata, Zakiyuddin yang juga timbalan ketua menteri 1 merupakan wakil rakyat Pinang Tunggal akan menjaga DUN Bertam, Lee yang merupakan Adun Machang Bubok akan menjaga Seberang Jaya.
Bakhtiar yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau akan menguruskan Teluk Bahang manakala Menteri Pendidikan Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal diberi tugas menjaga Sungai Acheh.
Pada Isnin, DUN Pulau Pinang meluluskan usul bagi mengisytiharkan kekosongan empat kerusi Adun.
Empat Adun itu melibatkan Bersatu iaitu Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya); Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang).
Mereka turut diarah keluar meninggalkan sidang DUN pada tengah hari selepas usul itu diluluskan.
Speaker Law Choo Kiang turut memaklumkan sesuatu kekosongan luar jangka kerusi tidak boleh diisi memandangkan DUN akan terbubar kurang dari dua tahun.
Untuk rekod pada 16 Dis lalu, Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan empat Adun itu untuk mendapatkan kebenaran mencabar DUN daripada meluluskan usul undang-undang anti lompat parti.