
Ketua Polis Kota Tinggi, Hussin Zamora, berkata semua individu terbabit didapati mengepam diesel dari dua lori tangki dalam tangki sebuah kapal, dalam kejadian 10.30 malam.
Katanya, bertindak atas maklumat mengenai pencerobohan di Hutan Simpan Sungai Santi, sepasukan anggota Jabatan Perhutanan Johor melakukan serbuan dan menemui sembilan individu, termasuk enam warga asing.
“Mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran memiliki, menyimpan, membawa barang kawalan tanpa permit daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Enam lelaki warga asing, antara yang ditahan juga gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.
“Semua mereka juga tidak mempunyai permit memasuki hutan simpan berkenaan dan kita percaya mereka sedang menyeludup diesel berkenaan ke luar negara melalui jalan laut,” katanya menurut Harian Metro.
Hussin berkata, hasil serbuan itu, Jabatan Perhutanan Johor berjaya merampas 150,000 liter diesel bersubsidi dalam tangki kapal, dianggarkan bernilai RM322,500.
Menurutnya, keseluruhan nilai rampasan, membabitkan dua lori tangki, sebuah generator, sebuah motosikal serta sebuah kapal termasuk diesel, dianggarkan berjumlah RM1,714,800.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 47 Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 Negeri Johor dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.