Loke salah maklumat berkait projek terminal kapal persiaran, kata NGO

Loke salah maklumat berkait projek terminal kapal persiaran, kata NGO

Save our Seashores Melaka (SOS Melaka) berkata menteri pengangkutan tidak mempertimbangkan bantahan dibangkitkan penduduk dan NGO sejak sembilan tahun lalu.

Pada Ahad, Loke Siew Fook berkata kementeriannya sedang berbincang dengan kerajaan negeri untuk meneruskan projek MICT yang merupakan sebahagian daripada projek Melaka Gateway. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendakwa Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mendapat maklumat salah mengenai projek Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa Melaka (MICT), selepas beliau berkata kementerian sedang berbincang dengan kerajaan negeri untuk meneruskannya.

Save our Seashores Melaka (SOS Melaka) menyuarakan kekecewaan dengan pengumuman Loke, sambil berkata beliau tidak mempertimbangkan banyak bantahan dibangkitkan penduduk dan NGO dalam tempoh sembilan tahun lalu sejak projek itu dimulakan.

MICT melibatkan kerja penambakan bawah projek Melaka Gateway, pembangunan bercampur yang sepatutnya berada di empat pulau buatan dengan elemen kediaman, komersial, kebudayaan, hiburan dan gaya hidup.

Kumpulan itu menafikan dakwaan Loke bahawa MICT hampir siap, dengan berkata terdapat sedikit kemajuan dengan projek Melaka Gateway sejak ia dikembalikan semula oleh kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) pada Mac 2022.

Ia berkata projek Melaka Gateway, secara keseluruhan, akan menyebabkan pencemaran besar kepada kawasan sekitar, terutama pinggir laut penempatan Portugis.

“Sejak projek dimulakan, pinggir laut penempatan itu telah dipenuhi dengan lumpur tebal dan bau yang tidak menyenangkan. Jeti itu tidak lagi boleh diakses oleh bot nelayan dan terdapat sedikit tanda kehidupan marin.

“Tebing lumpur mengganggu aliran air di saliran berhampiran, sekali gus meningkatkan risiko banjir.

“Daripada menyokong pemaju menyiapkan projek penambakan, menteri perlu memastikan mereka menyelesaikan pencemaran sedia ada sebelum membenarkan aktiviti lanjut di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan.

SOS Melaka juga berkata, pada Ogos tahun lalu menteri alam sekitar ketika itu memaklumkan tiada laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) diluluskan untuk Melaka Gateway, sambil menambah pemaju dan kerajaan negeri belum bertindak balas terhadap perkara itu.

“Oleh itu, amat mengejutkan bahawa lesen terminal pelayaran boleh dipertimbangkan tanpa menyelesaikan isu EIA terlebih dahulu,” katanya.

Ia juga berkata, negeri itu meluluskan dua terminal kapal persiaran lain di Melaka, kedua-duanya di sekitar bandar Melaka, dan mempersoalkan sama ada terdapat keperluan lagi.

Kumpulan itu berkata, ia bukan menentang pembangunan Melaka tetapi menegaskan sebarang pembangunan mesti dijalankan secara mampan.

“Kami berharap menteri akan mengambil pendekatan berbeza dan berunding dengan penduduk setempat sebelum membuat sebarang keputusan. Kami menggesa menteri mengadakan lawatan tapak dan melibatkan diri dengan penduduk tempatan,” katanya.

Pada Ahad, Loke berkata lesen operasi pelaburan projek MICT dibatalkan sebelum ini kerana beberapa isu, walaupun projek itu hampir siap.

Beliau berkata, kementerian menerima permohonan daripada pemaju Melaka Gateway untuk menghidupkan semula projek terminal kapal persiaran itu, sambil menambah terdapat pelbagai implikasi negatif jika ia dihentikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.