Anwar yakin kerajaan perpaduan kekal hingga habis penggal

Anwar yakin kerajaan perpaduan kekal hingga habis penggal

Perdana menteri berkata apa dikatakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang tidak lebih retorik politik.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan pimpinannya akan bertahan sehingga tamat penggal. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim yakin kerajaan perpaduan pimpinannya akan bertahan sehingga tamat penggal.

Anwar berkata demikian ketika membidas kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mendakwa kononnya kerajaan perpaduan akan tumbang.

“Apa sahaja yang dikata presiden PAS, saya yakin gabungan ini akan bertahan hingga habis penggal,” katanya ketika ucaptama sesi interaksi perdana menteri bersama ketua perwakilan diplomatik Malaysia secara maya sempena sesi pemukiman Wisma Putra.

Anwar menegaskan keperluan melakar hala tuju baharu untuk menyelamatkan negara daripada kemelut sedia ada.

Semalam, Hadi memberitahu wartawan di luar Dewan Rakyat bahawa ada tanda “tidak puas hati” dalam kalangan parti komponen yang membentuk kerajaan perpaduan.

Kerajaan perpaduan dianggotai Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah serta mendapat sokongan Ahli Parlimen Muda, Warisan, Parti Bangsa Malaysia dan bebas.

Hadi turut mempertahankan kenyataannya berhubung ramalan Kerajaan Perpaduan akan tumbang dalam masa terdekat dan menyifatkan tindakan menjatuhkan kerajaan adalah perkara biasa dalam politik.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Marang itu meramalkan pentadbiran Anwar akan tumbang “dalam masa terdekat” dan “atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.