
Tiga wanita dalam lingkungan 26 hingga 43 tahun yang belum dikenal pasti identiti itu disahkan meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Laut, Lumut, dalam kejadian kira-kira 9 malam.
Ketua Polis Manjung, Nor Omar Sappi berkata, pihaknya dengan kerjasama bomba dan TLDM melancarkan misi mencari dan menyelamat (SAR) sebaik menerima maklumat pada 9.17 malam.
“Siasatan awal mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah bot membawa 17 penumpang dengan seorang tekong dari Lumut ke Pangkor, yang berlanggar dengan sebuah lagi bot dinaiki seorang tekong dan seorang penumpang dari arah bertentangan.
“Akibat pertembungan itu, 10 penumpang tercampak ke laut sebelum diselamatkan kedua-dua tekong bot berkenaan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa korban dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat, manakala seorang mangsa berumur 43 tahun kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan yang lain menerima rawatan pesakit luar.
“Setakat ini, kita klasifikasikan kes sebagai mati mengejut dan kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden ini tampil membantu siasatan.”