PM puji penyelesaian 1MDB dengan Ipic, Aabar dibuat dengan baik

PM puji penyelesaian 1MDB dengan Ipic, Aabar dibuat dengan baik

Anwar Ibrahim berkata jumlah USD1.8 bilion (RM8.06 bilion) yang diperolehi itu jauh melebihi unjuran diharapkan kerajaan sebelum ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan pemerolehan bayaran penyelesaian 1MDB daripada dua firma pelaburan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (Ipic) dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS), sebagai satu kejayaan besar.

Beliau berkata, jumlah USD1.8 bilion (RM8.06 bilion) yang diperolehi itu jauh melebihi unjuran diharapkan kerajaan sebelum ini.

“Di antara kejayaan besar kita adalah memperoleh dana dari IPIC dengan Aabar. Rundingan yang sangat baik dan jauh melebihi jumlah yang kita unjurkan dan harapkan sebelumnya.

“Maknanya kalau unjuran saya dua minggu lalu di belanjawan, unjuran itu jauh, membuktikan bahawa apa yang saya sebut pada ketika itu, saya yakin keadaan akan bertambah baik, saya maklum mengenai perkara ini, cuma belum tahu (penyelesaian) USD1.5, atau 1.75, atau 1.8 dan akhirnya kita peroleh USD1.8 bilion (RM8.06 bilion).

“Tahniah kepada peguam negara dan jabatannya dan semua yang terbabit dalam perundingan itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Anwar berkata, kejayaan itu juga menunjukkan kepakaran pegawai kerajaan sedia ada tanpa perlu bergantung kepada perunding.

“Saya tidak menganggap pengambilan konsultan atau pihak swasta tidak penting, tapi saya nak tunjukkan bahawa kepakaran, keterampilan kita itu, kalau kita garap dan latih, ia juga akan berikan ruang kepada yang muda,” katanya.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan baru-baru ini memaklumkan dua firma pelaburan Abu Dhabi itu bersetuju membayar USD1.8 bilion kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan 1MDB.

Ia memaklumkan penyelesaian itu dicapai dalam prosiding undang-undang yang berlangsung di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London dan Mahkamah Tinggi London.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.