Masalah bekalan kuasa, perkhidmatan LRT Kelana Jaya alami gangguan lagi

Masalah bekalan kuasa, perkhidmatan LRT Kelana Jaya alami gangguan lagi

Rapid Rail dalam satu kenyataan memberitahu gangguan bekalan kuasa menyebabkan fasiliti seperti lif, eskalator dan lampu tak berfungsi.

Rapid Rail mengaktifkan perkhidmatan rel alternatif selepas perkhidmatan Transit Aliran Ringan Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Rapid Rail mengaktifkan perkhidmatan rel alternatif selepas perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan bekalan kuasa pada 7.50 malam tadi.

Rapid Rail dalam satu kenyataan memaklumkan perkhidmatan rel alternatif itu beroperasi dengan semua tren dari arah Putra Heights berpatah balik ke Stesen LRT Pasar Seni manakala tren dari arah Gombak berpatah balik ke Stesen LRT Damai.

Katanya, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan akibat masalah bekalan kuasa melibatkan lima stesen bawah tanah antara stesen LRT Ampang Park dan Masjid Jamek.

“Gangguan ini menyebabkan fasiliti seperti lif, eskalator dan lampu tidak dapat berfungsi di stesen terlibat,” kata kenyataan itu.

Rapid Rail turut memaklumkan kerja-kerja mengenal pasti punca gangguan sedang giat dijalankan.

“Rapid Rail memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh pengguna. Pengumuman dari semasa ke semasa akan dibuat menerusi saluran media sosial Rapid KL dan pengumuman di stesen,” katanya.

Ini bukanlah kali pertama perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan.

Pada 5 Jan, kerosakan suis menyebabkan tren berhenti untuk tempoh lebih lama antara stesen Universiti dan KL Sentral menuju ke Gombak.

Perkhidmatan di laluan itu sekali lagi tergendala pada pada 16 Jan juga berpunca daripada masalah suis.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook pada Dis lalu memberitahu penumpang pihaknya menjangkakan berlaku gangguan LRT laluan Kelana Jaya dalam beberapa bulan akan datang sehingga suku ketiga tahun ini.

Loke berkata, terdapat 56 set tren LRT beroperasi di laluan Kelana Jaya, di mana 18 daripadanya sedang diselenggara, bermakna hanya 38 sedang digunakan.

Beliau berkata, inilah sebabnya mengapa kekerapan tren dijadualkan setiap lima minit sejak kebelakangan ini, walaupun pada waktu puncak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.