KKD pertimbang teruskan inisiatif PerantiSiswa

KKD pertimbang teruskan inisiatif PerantiSiswa

Jika cadangan tersebut dipersetujui Kementerian Kewangan, Fahmi Fadzil menjamin ia akan dilaksanakan dengan lebih baik.

Inisiatif PerantiSiswa diperkenalkan bawah Bajet 2022, bertujuan membantu pelajar B40 mendapatkan akses digital bagi kegunaan dalam pembelajaran.
SHAH ALAM:
Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang mempertimbangkan sama ada akan meneruskan inisiatif PerantiSiswa, yang diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu, selepas program itu berakhir.

Jika cadangan meneruskan inisiatif tersebut dipersetujui Kementerian Kewangan, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menjamin ia akan dilaksanakan dengan lebih baik.

“Kita dalam proses meneliti permohonan tambahan, pandangan atau mungkin maklum balas, kritikan dan sebagainya. Pada waktu ini, kita mahu selesaikan baki pengagihan, tiba masa kita akan buat pengumuman.

“Sekiranya program yang ke depan dapat kita lakukan, dipersetujui serta diluluskan Kementerian Kewangan, maka ia akan (dilaksanakan) lebih baik daripada sebelumnya,” katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis pengagihan Peranti Siswa dan perasmian MyDigital.KKD di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Inisiatif PerantiSiswa diperkenalkan bawah Bajet 2022, diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (kini KKD) yang ketika itu diketuai oleh Annuar Musa, dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan Tinggi. Inisiatif itu bertujuan membantu pelajar B40 mendapatkan akses digital bagi kegunaan dalam pembelajaran.

Tambah Fahmi, sejak dibuka pada 15 Apr tahun lepas, kementerian menerima 474,311 permohonan dan setelah saringan dibuat, sebanyak 368,803 pemohon dikenal pasti layak mendapatkan PerantiSiswa

“Setakat ini, 359,742 mahasiswa telah menerima peranti masing-masing, manakala baki (pengagihan) 9,061 akan diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Bagi mempercepat pengagihan PerantiSiswa, katanya, KKD mengaktifkan 31 pusat pengagihan di seluruh negara bermula 17 Feb lepas.

Sementara itu, mengulas isu capaian Internet di seluruh negara, Fahmi memaklumkan, hanya kira-kira 3% kawasan berpenduduk tidak mempunyai akses kepada Internet. Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran terperinci kawasan yang terlibat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.