Isu UEC: Tangan Anwar, PH ‘terikat’, kata penganalisis

Isu UEC: Tangan Anwar, PH ‘terikat’, kata penganalisis

Walaupun mengiktiraf UEC antara janji PH dalam manifesto PRU15, situasi politik semasa menjadikan ia sukar dilaksanakan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sebelum ini berkata, kerajaan tidak berhasrat mengiktiraf UEC. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Keputusan kerajaan enggan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukanlah mengejutkan memandangkan tangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan gabungannya, Pakatan Harapan (PH) “terikat” disebabkan situasi semasa politik, kata penganalisis.

Wong Chin Huat daripada Universiti Sunway menekankan, kerajaan kini terbentuk daripada pelbagai gabungan, manakala James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania berkata, Anwar kekurangan modal politik untuk meneruskan dasar yang tidak disukai orang Melayu.

Pada 1 Mac, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kerajaan tidak berhasrat mengiktiraf UEC. Dalam jawapan bertulis Parlimen, beliau berkata, pendirian itu bersandarkan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996.

Mengiktiraf UEC adalah antara janji yang terkandung dalam manifesto PH pada PRU15.

Wong Chin Huat.

Gabungan itu berjanji menjadikan institusi pendidikan tinggi awam mengiktiraf UEC dengan syarat pemohon mesti memperoleh kredit dalam kertas bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Wong berkata, langkah Putrajaya tidak bercadang mengiktiraf UEC dapat difahami, kerana bukan sahaja perkara itu sia-sia, malah mampu menggugat kemandirian kerajaan.

“Kerajaan terdedah kepada serangan nasionalis Perikatan Nasional, keengganan (mengiktiraf UEC) satu tindakan bijak dalam politik,” katanya kepada FMT.

Katanya, “tidak mungkin” kerajaan akan mengiktiraf UEC, apabila kerajaan Anwar tidak meraih undi majoriti Melayu pada PRU15.

Sekiranya sijil itu diiktiraf, PN akan menggunakannya untuk menyerang kerajaan dan mendakwa hak Melayu-Muslim dipinggirkan.

James Chin.

Chin berkata, komponen PH, DAP, paling rugi memandangkan parti itu lantang mengenai pengiktirafan UEC, sambil menyatakan mereka perlu memberikan penjelasan.

Bagaimanapun, katanya, langkah tidak mengiktiraf sijil tersebut tidak akan menggugat sokongan bukan Melayu kepada PH, menjelang PRN di enam negeri yang mesti diadakan pada tahun ini.

Ketika PH berada dalam kerajaan sebelum ini, gabungan itu menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi mendapatkan pandangan mengenai pengiktirafan UEC, yang juga antara janji pilihan rayanya pada 2018.

Diketuai ahli sosiologi, Eddin Khoo, jawatankuasa itu turut dianggotai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Raimi Abdul Rahim dan timbalan presiden Dong Zong ketika itu, Tan Yew Sing.

Bagaimanapun, kerja-kerja jawatankuasa itu terhenti susulan perubahan kerajaan pada 2020, walaupun laporan mereka sudah lengkap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.