
“Hakim yang memberi keputusan (membebaskan Najib) adalah hakim yang sama yang menjatuhkan hukuman atas ibu saya. Beliau membuat keputusan berlandaskan fakta dan tiada unsur politik,” katanya kepada Mingguan Malaysia, edisi Ahad terbitan Utusan Malaysia.
Nooryana ditanya mengenai pandangannya terhadap pihak yang mempersoalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menyebelahi bapanya.
Hakim Zaini Mazlan mempengerusikan perbicaraan Najib yang dituduh menyalahgunakan kuasa untuk mendapat kekebalan daripada tindakan undang-undang dan menyebabkan pindaan pada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentang dalam mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Dalam penghakimannya, Zaini berkata, walaupun empat perkara dikeluarkan daripada laporan audit 1MDB, tetapi perkara itu tidak menimbulkan kemungkinan sebarang tindakan sivil atau jenayah boleh dikenakan terhadap Najib.
Zaini juga mempengerusikan perbicaraan rasuah Rosmah berkait projek tenaga solar sekolah di pendalaman Sarawak berjumlah RM1.25 bilion.
Nooryana beerkata, sepanjang perbicaraan itu, Najib yakin beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Jadi kalau kita lihat seseorang hakim berlaku adil menggunakan fakta, ayah percaya beliau boleh mendapat keadilan sepenuhnya,” katanya.
Katanya, fokus kini adalah pada keputusan di Mahkamah Persekutuan berhubung permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman dalam kes SRC International.
“Doakan ayahanda Bossku akan dapat keadilan dan pulang bersama kami,” katanya yang merujuk nama panggilan popular Najib.
Pada 28 Julai 2020, Nazlan Ghazali yang ketika itu menjadi Hakim Mahkamah Tinggi mensabitkan Najib dengan kesalahan salah guna kuasa, ubah wang haram dan jenayah pecah amanan berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta.
Sabitan dan hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu pada Ogos lalu memfailkan usul untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan dengan alasan mahkamah melanggar prinsip asas keadilan termasuk haknya untuk mendapatkan perbicaraan adil dan diwakili peguam.