
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata tiga kertas peperiksaan yang terlibat ialah Ekonomi, Sains / Fizik, dan Sains Rumah Tangga, lapor Astro Awani.
Bagaimanapun, katanya Kementerian Pendidikan (KPM) akan tetap melihat kepada persediaan logistik dan cuaca semasa yang boleh mempengaruhi tarikh penjadualan semula tersebut.
Fadhlina berkata jumlah calon SPM yang terjejas banjir pada 1 hingga 2 Mac lalu adalah seramai 533 orang dengan 450 orang di Johor, 79 orang Pahang dan empat di Sarawak.
“Kita akan mula 16 Mac, tapi dari masa ke semasa kita akan lihat, jadi kita berdoa supaya tak ada lagi pertambahan tarikh dan kita tak nak anak-anak kita diberikan tekanan sebab cuaca macam ni.
“Jadi memang kita akan mula pada 16 Mac dan kita akan lihat berapa kertas yang terlibat,” jelasnya.
KPM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan sebanyak 17 pusat peperiksaan di Johor, Pahang dan Sarawak terjejas susulan hujan lebat sejak awal bulan ini.
Daripada jumlah itu, tujuh pusat peperiksaan tidak dapat dibuka disebabkan terputus hubungan dan jalan raya tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.