Roger Ng patut dipenjara 15 tahun, kata pendakwa raya AS

Roger Ng patut dipenjara 15 tahun, kata pendakwa raya AS

Minggu lalu bekas pegawai bank Goldman Sachs itu meminta tidak dipenjarakan sebaliknya dibenarkan pulang ke Malaysia.

Roger Ng didapati bersalah April lalu kerana membantu bekas bosnya di Goldman Sachs, Tim Leissner dalam menyeleweng dana 1MDB. (Gambar AP)
NEW YORK:
Pendakwa raya Amerika Syarikat menggesa hakim menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun kepada bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng selepas disabitkan bersalah membantu menyeleweng berbilion dolar daripada dana 1MDB.

Juri di mahkamah persekutuan Brooklyn pada April lalu mendapati Ng, bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, bersalah kerana membantu bekas bosnya Tim Leissner menggelapkan wang daripada dana itu, mengubah hasilnya secara haram dan merasuah pegawai kerajaan untuk mendapatkan perniagaan.

Leissner pernah menjadi ketua Goldman Asia Tenggara.

Hakim Daerah AS Margo Brodie dijangka menjatuhkan hukuman ke atas Ng pada 9 Mac.

Dalam permohonan hukumannya pada 25 Feb, Ng meminta dia tidak dijatuhi hukuman penjara dan dibenarkan pulang ke Malaysia.

Dia dipenjara enam bulan di Malaysia sebelum melepaskan haknya untuk melawan ekstradisi ke Amerika Syarikat pada 2018. Ng dibebaskan dengan ikat jamin tetapi menjalani tahanan dalam rumah sejak disabitkan kesalahan.

Tuduhan itu berkait bon 1MDB bernilai kira-kira USD6.5 bilion (RM29.1 bilion) yang dibantu Goldman untuk dijual pada 2012 dan 2013.

Pendakwa raya berkata, USD4.5 bilion daripada jumlah itu digelapkan oleh pegawai, pegawai bank dan sekutu mereka, dalam salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah Wall Street.

Pada Oktober 2020, Goldman bersetuju membayar USD2.9 bilion dan unit Malaysianya mengaku bersalah atas tuduhan rasuah.

Ng mengaku tidak bersalah, dan berhujah bahawa suapan USD35 juta yang didakwa diterimanya sebenarnya adalah pulangan atas pelaburan dibuat isterinya.

Leissner mengaku bersalah dan memberikan keterangan terhadap Ng sebagai sebahagian daripada perjanjian kerjasama. Dia belum dijatuhkan hukuman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.