
Kadar diberikan itu jauh lebih rendah daripada diumumkan pada 2021, namun nilai itu dikatakan agak munasabah memandangkan negara dalam tempoh pemulihan selepas pandemik Covid-19.
Bagi 2021, KWSP memberikan dividen 6.10% untuk simpanan konvensional dan akaun syariah 5.65%.
Dividen itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amir Hamzah Azizan pada taklimat prestasi kewangan KWSP.
Amir Hamzah berkata, jumlah pembayaran bagi keseluruhan dividen bagi 2022 adalah sebanyak RM51.14 bilion kepada 15 juta ahli, dengan Simpanan Konvensional sebanyak RM45.44 bilion, manakala Simpanan Syariah sebanyak RM5.7 bilion.
Menurutnya lagi, setakat 31 Dis 2022, KWSP merekodkan pendapatan pelaburan kasar bernilai RM55.33 bilion, berbanding RM68.89 bilion pada 2021.
Prestasi itu dipacu oleh ketidaktentuan pasaran dan penilaian rendah dalam pasaran ekuiti dan pendapatan tetap.
“Portfolio KWSP yang pelbagai dan kecairan yang sihat membantu mengurangkan risiko dan membolehkan KWSP untuk mengekalkan aset pelaburannya melebihi RM1 trilion dan mengisytiharkan kadar dividen yang baik untuk 2022.
“Pembayaran sebanyak RM51.14 bilion ini akan memanfaatkan lebih daripada 15 juta ahli KWSP, termasuk ahli daripada sektor tidak formal yang berdaftar dengan i-Saraan, iaitu sebuah program caruman sukarela berasaskan insentif.
“Kami percaya dividen ini serta pengukuhan prestasi KWSP yang berterusan akan memberi manfaat kepada simpanan persaraan ahli, terutamanya apabila dilihat dari aspek jangka masa panjang.
“Walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar, kami akan terus mengutamakan kejayaan jangka panjang portfolio pelaburan kami dan membina semula simpanan persaraan ahli kami,” katanya lagi.
Dari segi pendaftaran ahli pada 2022, Amir memaklumkan, KWSP mencatat pertumbuhan pendaftaran ahli baharu sebanyak 635,989, menjadikan jumlah ahli KWSP kepada 15.72 juta setakat Disember 2022.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 8.39 juta adalah ahli aktif, yang kini mewakili 50 peratus daripada 16.7 juta tenaga buruh Malaysia Pada akhir 2022,” katanya.