Johor catat bacaan hujan tertinggi dalam tempoh 32 tahun

Johor catat bacaan hujan tertinggi dalam tempoh 32 tahun

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Md Nasir Md Noh berkata, rekod hujan selama empat hari di Johor mengatasi rekod hujan bulanan tertinggi.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Md Nasir Md Noh berkata, keadaan itu menyebabkan semua daerah di Johor terjejas banjir dengan kedalaman antara satu hingga ke tiga meter. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bacaan hujan yang direkodkan di stesen Air Panas, Segamat, Johor dalam tempoh bermula 28 Feb hingga semalam (3 Mac) sebanyak 731mm, adalah tertinggi pernah dicerap berbanding dengan rekod hujan bulanan tertinggi pada Dis 1991 dan Dis 2006.

Bacaan yang direkodkan pada Dis 1991 sebanyak 621mm sebulan manakala pada Dis 2006 sebanyak 599mm.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Md Nasir Md Noh berkata bacaan itu juga melebihi purata hujan bulanan jangka panjang bagi bulan Mac untuk Johor iaitu 195mm.

“Episod kali ini menyebabkan semua daerah di Johor terjejas banjir membabitkan 105 lokasi setakat semalam dengan kedalaman banjir bagi kawasan yang terlibat antara satu hingga ke tiga meter,” katanya dalam kenyataan.

Md Nasir berkata stesen hujan di Empangan Bekok, Segamat telah mencatatkan bacaan kumulatif sebanyak 322mm hujan dalam tempoh 24 jam pada 28 Feb dan 1 Mac lepas.

“Taburan hujan yang tinggi ini menyebabkan pelepasan air bermula 28 Feb sehingga kini dengan kawasan yang terkesan ialah Pekan Yong Peng, Ladang Chaah, Jalan Yong Peng-Segamat (berhampiran Kampung Ngamarto), Kampung Haji Kamisan dan kawasan Sungai Temehil.

“Stesen hujan Empangan Sembrong (di Ayer Hitam) pula mencatatkan bacaan kumulatif hujan sebanyak 260mm hujan dalam tempoh 24 jam pada 28 Feb dan 1 Mac lepas.

Taburan hujan yang tinggi ini menyebabkan pelepasan air terpaksa dilaksanakan bermula 1 Mac sehingga kini melibatkan mukim Tanjung Sembrong, mukim Sri Gading dan kawasan Sawah Sagil,” katanya.

Sementara itu, Md Nasir berkata bagi stesen hujan Empangan Machap di Kluang pula mencatatkan bacaan kumulatif hujan sebanyak 395mm pada 28 Feb dan 2 Mac lepas dengan pelepasan air dilaksanakan bermula 1 Mac lepas membabitkan kawasan Kampung Kolam Air dan Kampung Sungai Linau di Simpang Renggam.

Beliau berkata berikutan hujan lebat berterusan di kawasan tadahan melibatkan beberapa empangan di Johor, JPS membuat pelepasan empangan mengikut tatacara prosedur operasi standard operasi empangan.

“Limpahan air empangan melalui struktur alur limpah akan berlaku apabila aras takungan empangan melepasi aras tertinggi. Orang awam dimohon untuk sentiasa bersiap siaga dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Operasi Banjir Daerah dan Negeri.

“Buat masa ini sebanyak 15 pam bergerak dengan kapasiti 10 cusec sedang beroperasi di kawasan-kawasan kritikal di Batu Pahat, Pontian dan Tangkak. 10 pam bergerak dengan kapasiti 10 cusec lengkap dengan genset tersedia untuk dihantar ke Johor sebagai pam tambahan,” katanya.

Menurut Md Nasir operasi pam bergerak itu merupakan tambahan kepada sistem saliran dan pam sedia ada bagi mempercepat aliran air banjir untuk mengurangkan kedalaman banjir.

Sepanjang Monsun Timur Laut ini, Bilik Kawalan Operasi Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) sentiasa bersiap siaga dalam memberi ramalan dan amaran banjir kepada semua pihak berkaitan.

Orang awam boleh mendapatkan maklumat hebahan amaran banjir dan juga status aras air sungai serta hujan di seluruh Malaysia di laman sesawang Public Infobanjir iaitu publicinfobanjir.water.gov.my dan aplikasi MyPublic Infobanjir yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple Apps Store.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.