
Walaupun akta itu pada asalnya digubal untuk menyediakan rangka kerja berpusat bagi pengembangan pendidikan tinggi di negara ini, sekatannya terhadap autonomi universiti dan kebebasan pelajar bersuara menyebabkannya dipertikaikan.
FMT melihat dengan lebih dekat apa terkandung dalam akta itu.
Apa itu Auku?
Auku diwujudkan pada April 1971 dan sebahagiannya berada bawah kuasa perundangan Kementerian Pendidikan Tinggi. Akta itu mengandungi peruntukan bagi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti dan kolej universiti awam.
Susulan peristiwa 13 Mei 1969, perdana menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman melaksanakan darurat bagi negara.
Universiti ditadbir oleh Ordinan Darurat (Kuasa Penting) No 74, yang akhirnya menjadi asas Auku.
Menteri pendidikan ketika itu, Hussein Onn, menjelaskan Auku pada mulanya dimaksudkan sebagai instrumen undang-undang untuk penubuhan universiti di negara ini, dan merasmikan hubungan antara kerajaan dan universiti.
Sehingga kini akta itu dipinda sebanyak enam kali.
Pindaan penting
Pada 1975, akta itu dipinda untuk memberi kerajaan kawalan penuh ke atas universiti, khususnya dalam pelantikan naib canselor yang kemudian ditugaskan untuk melantik dekan, timbalan dekan dan ketua institut pusat pengajian, menggantikan pemilihan demokratik dalam kalangan ahli akademik.
Pada 1996, pindaan itu melibatkan penstrukturan semula universiti dan pengkorporatan tadbir urusnya dengan mengecilkan senat dan majlis universiti. Ini secara berkesan menyekat suara akademik di universiti.
Pindaan pada 2009 dan 2012 dibuat selepas perbincangan hangat tercetus mengenai keperluan tahap autonomi dan akauntabiliti universiti yang lebih tinggi supaya dapat bersaing dengan institusi lain di peringkat global. Pindaan itu menyaksikan kuasa mengawal pelajar beralih daripada menteri pendidikan kepada universiti.
Kemudian pada 2018, Seksyen 15(2)(c), yang sebelum ini melarang pelajar mengambil bahagian dalam kegiatan anjuran parti politik dalam kawasan universiti dan kolej, dimansuhkan, membuka jalan kepada penglibatan pelajar dalam politik.
Isunya
Walaupun dengan pindaan membabitkan Seksyen 15(2)(c), beberapa pertubuhan pelajar menzahirkan kebimbangan mengenai Auku kerana mengekalkan kuasa naib canselor untuk menggantung atau membubarkan mana-mana kumpulan menjalankan urusan yang boleh menjejaskan kepentingan dan keharmonian universiti.
Pada 2018, NGO hak asasi manusia, Fortify Rights, melaporkan bagaimana kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu menyalahgunakan Auku dan peraturan kecilnya untuk menghalang pelajar universiti daripada terlibat dalam wacana politik dan menyekat hak kebebasan bersuara dan mengadakan perhimpunan aman.
‘Mangsa’ Auku
Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini berkongsi pengalamannya menjadi “mangsa” akta itu kerana mengkritik salah guna kuasa dan rasuah seperti skandal 1MDB. Akibatnya, beliau tidak dijemput ke majlis konvokesyennya dan dipecat sebagai pensyarah sementara dan jurulatih debat di universiti.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli juga “dihukum” bawah akta itu kerana menurunkan bendera memaparkan muka bekas perdana menteri Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra dan menggantikannya dengan bendera tertera slogan menyeru kebebasan akademik.
Semasa menjadi ketua pembangkang, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dihalang daripada memasuki universiti yang pernah dihadirinya (Universiti Malaya) untuk berucap pada majlis “40 Tahun: Dari UM ke Penjara”. Universiti itu juga memberikan amaran kepada pelajar supaya tidak menghadiri majlis itu, dengan berkata pentadbiran akan mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka yang tidak mematuhi arahan.
Ketiga-tiga pemimpin itu menjadi penyokong kuat pemansuhan akta tersebut, dengan berkata ia menyekat suara pelajar dan menghalang kebebasan bersuara.
Syed Saddiq mengingatkan kerajaan tentang janji yang dibuatnya pada PRU15 untuk memansuhkan Auku, sambil menegaskan ia juga memberikan kuasa kepada ahli politik untuk menentukan siapa yang mentadbir universiti.
Perancangan memansuhkan Auku
Dalam manifestonya bagi PRU15, Pemuda Pakatan Harapan (PH) berjanji memansuhkan Auku. Janji itu juga terkandung dalam manifesto PH bagi PRU14.
Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik sebelum ini berkata, jawatankuasa kerja untuk pemansuhan akta itu dibentuk dan ditugaskan untuk menyediakan draf akta baharu yang menggabungkan kedua-dua Auku dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta.
Bagaimanapun, usaha itu terhenti selepas kerajaan PH tumbang pada Februari 2020. Penggantinya, Noraini Ahmad dilaporkan berkata, kedua-dua akta itu tidak perlu diganti.
Pada 7 Feb, Adun Tanah Rata Ho Chi Yang menggesa kerajaan memansuhkan Auku, dengan berkata ia adalah langkah penting ke arah memperkasakan kesatuan pelajar di universiti.
Beliau juga menggesa pelaksanaan “proses demokrasi” dalam pelantikan naib canselor universiti, lembaga pengarah dan dekan fakulti untuk mempromosikan demokrasi kampus.
Menteri Pendidikan Tinggi, Khaled Nordin, berkata kerajaan tidak bercadang memansuhkan Auku kerana ia akan menjejaskan tadbir urus universiti awam terutama semasa tempoh peralihan akta itu.
Bagaimanapun, katanya kementerian dan universiti awam pada peringkat akhir menggubal beberapa garis panduan bagi membolehkan pelajar lebih bebas mengatur kegiatan dan menyertai program politik, baik di dalam mahupun luar kampus.