4 Adun Bersatu P Pinang berisiko hilang kerusi

4 Adun Bersatu P Pinang berisiko hilang kerusi

Usul untuk mengosongkan empat kerusi disandang Dr Afif Bahardin, Zulkifli Ibrahim, Khaliq Mehtab Ishaq dan Zolkifly Lazim akan dibentangkan pada sidang DUN.

Dr Afif Bahardin, Zulkifli Ibrahim, Khaliq Mehtab Ishaq dan Zolkifly Lazim dijangka kehilangan kerusi DUN Pulau Pinang.
GEORGE TOWN:
DUN Pulau Pinang dijangka menyingkirkan empat Adun Bersatu apabila usul untuk mengosongkan kerusi mereka diluluskan.

Empat Adun itu – Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya); Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Ishaq (Bertam); dan Zolkifly Lazim (Teluk Bahang) – menang atas tiket Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14 pada Mei 2018.

Afif dan Zulkifli meninggalkan PKR dan menyertai Bersatu, manakala Khaliq dan Zolkifly ahli Bersatu dari mula.

Semuanya dianggap “kehilangan” kerusi selepas Bersatu meninggalkan PH – berikutan Langkah Sheraton pada Februari 2020 – berdasarkan peruntukan anti-lompat yang terkandung dalam Perkara 14A perlembagaan negeri.

Mengikut peraturan majlis mesyuarat DUN, usul untuk mengosongkan empat kerusi itu akan dibentangkan pada mesyuarat DUN akan datang.

Surat Timbalan Ketua Menteri Zakiyuddin Rahman kepada DUN Pulau Pinang memaklumkan mengenai usul itu.

Surat juga sudah dihantar kepada empat Adun tersebut, memaklumkan mengenai usul akan dibentangkan Timbalan Ketua Menteri Zakiyuddin Rahman.

Tindakan mengosongkan kerusi empat Adun itu dicadangkan pada Oktober 2020 tetapi tertangguh selepas mereka memfailkan injunksi untuk menghalang DUN daripada berbuat demikian.

Pada Khamis, Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk menghentikan usul itu, dengan berkata ia tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam pengurusan DUN.

Langkah mengosongkan kerusi empat Adun itu diambil menjelang PRN yang mesti diadakan dalam tempoh empat bulan akan datang. Ketika ini PH memiliki 33 daripada 40 kerusi DUN.

Jika usul itu diluluskan, Adun PAS Penaga Yusni Mat Piah akan menjadi satu-satunya wakil pembangkang dalam DUN. Dua kerusi lagi dimiliki Barisan Nasional (BN), tetapi gabungan itu tidak lagi dianggap pembangkang.

‘Bersedia tindak balas hebat’

Khaliq mengecam percubaan untuk mengosongkan kerusinya dan Zolkifly, dengan mengatakan mereka tidak pernah berpaling tadah.

“Apa yang mereka buat itu salah. Menurut perlembagaan negeri, ahli (DUN) yang bertukar parti akan dikosongkan kerusinya. Kami tidak pernah bertukar parti,” katanya kepada FMT.

“Tambahan, perlembagaan negeri tidak selaras dengan undang-undang anti-lompat parti di peringkat persekutuan. Apa yang dikatakan lompat parti itu, dalam DUN Pulau Pinang masih kabur dan boleh dipertikai.

“Mereka cuba cemarkan nama baik kami. Tetapi tindak balas (terhadap tindakan itu) akan hebat, terutamanya di kawasan majoriti Melayu (pada PRN akan datang).”

Semalam, Perikatan Nasional (PN) menamakan Khaliq sebagai ketua pembangkang negeri yang baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.