Tindakan tegas terhadap polis terlibat aktiviti haram, kata KPN

Tindakan tegas terhadap polis terlibat aktiviti haram, kata KPN

Ketua Polis Negara berkata semua anggota penguatkuasa perlu mematuhi integriti dan kedaulatan termaktub dalam undang-undang.

Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis tidak berkompromi dengan pegawai dan anggota terbabit perbuatan menyalahi undang-undang. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap anggota terlibat kegiatan haram, kata Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.

“Jika terdapat pembabitan mana-mana pegawai dan anggota polis dalam apa juga aktiviti menyalahi undang-undang, kita akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Polis sehingga kini konsisten tidak berkompromi dengan pegawai dan anggota yang terbabit perbuatan menyalahi undang-undang dan perkara itu sudah kita buktikan dalam pelbagai kes membabitkan anggota kita,” katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di Bukit Aman.

Acryl Sani berkata, semua anggota penguatkuasa perlu mematuhi integriti dan kedaulatan termaktub dalam undang-undang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Jabatan Imigresen membanteras kegiatan sindiket penipuan dalam talian baru-baru ini.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata sindiket itu yang beroperasi sejak 2019 meyogok pihak berkuasa untuk melindungi kegiatan mereka.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai suspek dan berkata operasi itu tidak melibatkan polis kerana imigresen mempunyai pasukan khasnya sendiri.

Serbuan dilakukan serentak di 24 premis di Lembah Klang dan Pulau Pinang. Dilaporkan, sindiket itu menipu RM200 juta daripada mangsa di United Kingdom dan Australia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.