
Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beliau dimaklumkan ketua polis daerah berkaitan sudah mengambil tindakan sewajarnya, namun insiden itu berlaku atas beberapa faktor yang mungkin tidak dapat dielakkan.
Beliau berkata, ia insiden yang sangat mendukacitakan kepada warga polis.
“Dari sudut siasatan, kami ambil maklum kematian anggota tersebut disahkan sebagai mati mengejut (SDR). Polis Pulau Pinang sudah melengkapkan siasatan dan bedah siasat, termasuk sediakan dokumen sepatutnya untuk dikemukakan bagi permohonan inkues untuk kenal pasti punca kejadian.
“Saya dimaklumkan beliau menghadapi masalah keluarga dan telah diambil tindakan oleh ketua polis daerah berkaitan, namun kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielak, kita pun tidak tahu mengapa anggota ini ambil tindakan sedemikian yang di luar jangkaan kita,” katanya selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 PDRM di Bukit Aman.
Mengulas prosedur operasi standard (SOP) penggunaan senjata api oleh warga polis, Acryl Sani berkata, ia sudah lama termaktub dan sewajarnya dipatuhi.
“Apa yang berlaku ini tentu sekali perkara di luar kawalan. Bagaimanapun, ia tidak menghalang kita mencari jalan menambah baik SOP berkenaan bagi memastikan perkara tidak diingini berlaku.”
Mengenai tahap kesihatan mental anggota polis secara keseluruhan, katanya, melalui Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), polis mempunyai unit kaunseling yang akan meneliti dan memantau perkara itu menerusi laporan serta penyelia masing-masing.
Terdahulu, Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, siasatan kejadian itu sudah selesai dan tiada unsur jenayah ditemui serta selari dapatan pertama mereka, iaitu bunuh diri, sekali gus mengklasifikasikan kematian anggota itu sebagai SDR.
Pada 19 Feb lepas, Sarjan Jana Milie, 51, ditemui maut di belakang Balai Polis Bayan Lepas dengan kesan tembakan pada dada, leher dan kepala.
Ditanya bila anggota polis akan mula menggunakan kamera badan, beliau berkata, ia akan disegerakan bagi meningkatkan integriti warganya dalam perkhidmatan.
“Saya secara peribadi sejak menjadi pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti lagi telah menggalakkan penggunaan kamera badan ini.
“Tujuannya untuk mengelak pertikaian antara dua pihak, kalau berlaku perkara di luar jangkaan dan kawalan. Begitu juga dengan pihak polis, saya berharap ia akan dapat dilaksanakan secepat mungkin setelah lama tertangguh.”
Pada 24 Feb lepas, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 memaklumkan penambahan 2,100 unit kamera badan kepada anggota serta petugas agensi penguatkuasaan, termasuk polis.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, pemerolehan unit kamera badan itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat, dengan pihaknya kini di peringkat akhir memuktamadkan kontraktor yang akan mengendalikan pemerolehan aset itu.