
James Chin dari Institut Asia University of Tasmania, berkata tiada parti Melayu arus perdana lain seperti Bersatu, PAS atau Umno akan menerima Mahathir.
“Mahathir terdesak dan beliau juga mahu kekal relevan. Beliau tidak akan bersara, darah politik mengalir dalam dirinya,” kata Chin kepada FMT.
“Sebab lain Mahathir menyertai Putra adalah kerana pandangan sayap kanan Melayu yang melampau yang sesuai dengan pandangannya sendiri.”
Pada Rabu, Mahathir menyertai Putra selepas keluar Pejuang bulan lepas berikutan keputusan bekas partinya untuk menarik diri daripada gabungan Gerakan Tanah Air.
Menjelaskan keputusannya untuk menyertai parti pimpinan Ibrahim Ali, bekas perdana menteri itu mendakwa orang Melayu tidak lagi menguasai ekonomi, dan “orang lain” telah mengambil alih.
Selain itu, Chin berkata keputusan Mahathir untuk menyertai Putra boleh menjadi langkah strategik membuat kemunculan semula dalam pilihan raya negeri akan datang.
“Beliau akan kalah teruk jika bertanding lagi. Beliau bukan sahaja kalah di Langkawi (pada PRU15), tetapi hilang deposit. Ini bermakna beliau tidak mendapat satu perlapan undi, bermakna orang Melayu telah meninggalkannya sepenuhnya.
“Putra juga langsung tiada peluang dalam pilihan raya akan datang atau mana-mana pilihan raya. Semua kumpulan sayap kanan Melayu telah pun berada di bawah Perikatan Nasional (PN). Tiada ruang untuk Putra. Paling banyak pun, ia hanyalah kumpulan pendesak yang membuat bising mengenai ketuanan Melayu,” katanya.
Manakala, penganalisis politik, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya, berkata jika matlamat Mahathir adalah untuk memperjuangkan orang Melayu, beliau telah memilih platform yang salah.
“Sukar bagi beliau dan Putra untuk memperjuangkan orang Melayu apabila parti itu tidak mempunyai banyak pengaruh,” kata Awang Azman.
“Semakin beliau meneruskan usaha mempertahankan orang Melayu, semakin ramai orang akan mempersoalkan mengapa beliau tidak menggunakan 22 tahun beliau sebagai perdana menteri. Malah, politik wang bermula semasa beliau dalam Umno dan kini menjadi endemik.
“Apatah lagi beliau pernah mempersendakan orang Melayu. Jadi kaitannya dalam politik diragui. Ramai yang tidak lagi mengambil serius apa yang beliau katakan.”
Awang Azman berkata keputusan Mahathir, seperti bertukar parti dan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri selepas 22 bulan menerajui kerajaan Pakatan Harapan pada 2020, akan menjejaskan kedudukannya sebagai negarawan yang dihormati.