
Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim, berkata serbuan turut menahan lima lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 44 tahun.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama pada 9 malam hingga 1 pagi di Taman Tun Dr Ismail, Isnin lalu polis menahan dua lelaki dan merampas pelbagai dadah antaranya ganja seberat 20kg dianggarkan bernilai RM50,000 serta wang tunai RM500.
“Dalam serbuan pada Rabu bermula 4 petang hingga 9 malam di Taman Keramat dan di sebuah kondominium di Taman Melati pula, polis menahan seorang lelaki serta merampas 6kg syabu dianggar bernilai RM246,000 dan wang tunai RM1,000,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur.
Azmi berkata, empat serbuan pada Selasa dan Rabu lalu di sekitar Segambut, Cheras serta Pandan Perdana pula menahan dua lelaki dan seorang wanita selain merampas pelbagai dadah antaranya serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 7.6kg, ketamin (3.8kg), pil Eramin 5 (10,120 biji) dan 1kg syabu dianggar bernilai RM1.7 juta.
Selain itu, beliau berkata polis turut menyita sebuah kereta jenis Honda Accord dan sebuah motosikal Honda BeAT bernilai RM178,000 dan wang tunai RM16,124.
Azmi berkata, semua dadah yang dirampas dipercayai diperoleh daripada pembekal di sekitar Lembah Klang untuk pasaran ibu negara dan mampu menampung 100,000 pengguna.
Katanya, semua suspek direman tujuh hari dari tarikh tangkapan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 selain polis giat mengesan saki-baki ahli sindiket terbabit yang masih bebas.