
Adam Farhan dari Rimba Disclosure Project (RDP), berkata meskipun RM150 juta itu dianggap baik seperti dibentangkan pada Belanjawan 2023, Pakatan Harapan berjanji dalam manifestonya akan menambah EFT sekurang-kurangnya RM1 bilion.
“Masih lama lagi nampaknya untuk mereka memenuhi ikrar dibuat,” katanya kepada FMT.
Beliau juga menyatakan keraguan kawasan hutan boleh dilindungi dengan peruntukan sekecil itu, mengambil kira lumayannya industri perladangan dan balak.
Meenakshi Raman dari Sahabat Alam Malaysia (SAM) bersetuju dana diumumkan tidak mencukupi memandangkan banyak negeri memerlukannya bagi melindungi hutan masing-masing.
Katanya, peruntukan lebih besar membolehkan pemuliharaan biodiversiti lebih baik, dan juga meningkatkan serapan karbon, membantu mencegah dan mengawal banjir, selain jaminan sumber air mapan kerana kawasan tadahan air dilindungi.
Dalam Belanjawan 2023 dibentang pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan mengumumkan peningkatan EFT, bersama dana RM38 juta bagi melindungi hidupan liar seperti harimau dan gajah, dan RM50 juta meningkatkan jumlah renjer hutan kepada 1,500 orang, termasuk mengambil Orang Asli dan veteran tentera dan polis.
Mengulas peruntukan RM38 juta untuk melindungi hidupan liar, Meenakshi berkata, beliau berharap dana itu diuruskan sewajarnya mengekang dan mengurangkan pemburuan dan penyeludupan.
Beliau juga memuji pengambilan Orang Asli sebagai renjer hutan kerana mereka merupakan penjaga hutan dan sepatutya memainkan peranan penting melindungi biodiversitinya.
Adam menekakan dana bagi spesies hidupan liar terancam mestilah seiring keengganan kerajaan membiayai projek yang akan memburukkan lagi ancaman terhadap hidupan terbabit.
“Projek Hulu Tembeling-Pasir Raja akan menyaksikan lebuh raya dibina merentasi habitat harimau dan gajah, sekali gus membuka akses kepada pemburu, mendedahkan haiwan ini terbunuh di jalan raya, dan menggalakkan penebangan hutan sekitar pinggir jalan yang mengundang kemusnahan habitat.
“Projek itu sahaja sudah menjejaskan semua manfaat RM38 juta seperti diumumkan,” katanya.