PrEP untuk HIV, bukan galak tingkah laku songsang, kata timbalan menteri

PrEP untuk HIV, bukan galak tingkah laku songsang, kata timbalan menteri

Ubat Pre-Exposure Prophylaxis adalah kaedah pencegahan farmaseutikal masa kini yang berkesan dan berupaya mencegah jangkitan secara seksual sehingga 99%.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata penggunaan ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) terbukti secara saintifik melalui banyak kajian di luar negara. (Gambar Fail)
KUALA LUMPUR:
Penggunaan ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) terhadap pesakit HIV bukan menggalakkan tingkah laku songsang, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata, sebaliknya pemberian ubat itu bagi mengurangkan kadar jangkitan, lebih-lebih lagi sebahagian besar pesakit HIV adalah golongan muda.

“KKM (Kementerian Kesihatan) guna PrEP untuk kurangkan kadar jangkitan bukan menggalakkan tingkah laku songsang. Rawatan PrEP untuk menghindar, bukan kita memilih hanya golongan tertentu sahaja layak dapatkan,” katanya menjawab soalan Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) di Dewan Rakyat.

Yunus ingin tahu sama ada penggunaan ubat itu seolah-olah menggalakkan tingkah laku songsang, dan adakah kementerian memikirkan program pencegahan tingkah laku seperti klinik berhenti merokok yang dilaksanakan sebelum ini.

Lukanisman berkata, PrEP adalah kaedah pencegahan farmaseutikal masa kini yang berkesan dan berupaya mencegah jangkitan secara seksual sehingga 99%.

“Kaedah ini terbukti secara saintifik melalui banyak kajian di luar negara serta pengambilannya hendaklah mengikut arahan serta melalui pemantauan doktor pakar terlatih,” katanya.

Beliau menjelaskan, 77% kes baharu dilaporkan setiap tahun terdiri daripada golongan muda berumur antara 20 hingga 39 tahun dan lebih 90% penghidap adalah kaum lelaki.

Katanya, data itu menunjukkan pendedahan kepada jangkitan HIV bermula dari bangku persekolahan dengan 97% kes adalah dijangkiti melalui hubungan seksual.

“KKM sentiasa mengutamakan pencegahan berlandaskan nilai murni seperti abstinens, namun isu penyalahgunaan substans memberikan cabaran besar kepada usaha pencegahan sedia ada.

“Justeru, PrEP adalah kaedah pencegahan tambahan ternyata berkesan yang perlu disediakan sebagai suplemen kepada usaha pencegahan sedia ada seperti advokasi abstinens, kondom, pengurangan risiko dan lain-lain,” katanya.

Lukanisman berkata, sebelum ubat PrEP diberikan kepada pesakit, pihaknya membuat sesi libat urus bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) termasuk agama lain bagi mendapat pandangan mereka.

“Kita mahu semua golongan profesional dan agamawan membantu. Kita mahu mengembalikan mereka ke jalan yang betul. Sekiranya mereka meneruskan aktiviti ini, kita bimbang jangkitan HIV semakin menular kerana HIV adalah masalah besar pada masa akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.