
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata mereka kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) setelah dibawa dengan ambulans ke hospital itu pada 8.33 malam selepas mendarat di lapangan terbang TUDM di sini.
“Penerbangan ihsan digerakkan selepas Pejabat Kesihatan Daerah Rompin menerima makluman daripada Klinik Kesihatan Perwira Jaya pada 10.30 pagi berhubung keadaan ibu mengandung tersebut.
“Satu pasukan Obstetric Retrieval dari HTAA yang terdiri daripada seorang pegawai perubatan obstetrik dan jururawat kesihatan telah diterbangkan ke Felda Selancar pada 4.51 petang menggunakan helikopter TUDM,” menurutnya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata pasukan itu tiba di lokasi pada 6.15 petang dan ketiga-tiga pesakit telah diperiksa serta didapati stabil sebelum dibawa keluar.
Berikutan itu, Noor Hisham mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk tentera, Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah Rompin dan kerajaan negeri Pahang yang membantu melancarkan misi menyelamat tersebut.
Jalan utama ke Felda Selancar runtuh sekitar 4 pagi semalam akibat limpahan air deras ekoran hujan lebat berterusan sejak kelmarin menyebabkan ia ditutup kepada semua kenderaan.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang melawat lokasi kejadian petang semalam, mengumumkan pembinaan sebuah jambatan bailey yang akan dilakukan segera untuk kemudahan penduduk sementara menanti jalan baharu dibina oleh Jabatan Kerja Raya.