Kerat, buang mayat rakan sekerja, 3 lelaki akan didakwa

Kerat, buang mayat rakan sekerja, 3 lelaki akan didakwa

Tiga pengawal keselamatan itu mengaku membunuh rakan sekerja mereka kerana dendam.

Sebuah bagasi mengandungi anggota badan manusia ditemui di Lebuhraya Utara Selatan.
SHAH ALAM:
Tiga pengawal keselamatan akan didakwa atas pembunuhan rakan sekerja mereka Januari lalu, di mana mayat mangsa dikerat dan disumbat dalam bagasi sebelum dibuang di Lebuhraya Utara Selatan.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata, tiga suspek warga Nepal itu yang berusia 24 hingga 30 tahun akan dihadapkan ke mahkamah tidak lama lagi.

“Ketiga-tiganya mengaku membunuh pengawal keselamatan berusia 48 tahun di stor sebuah pangsapuri di Sungai Buloh.

“Mereka membunuhnya kerana dendam disebabkan mangsa didakwa membuli dan memukul suspek di tempat kerja,” katanya dalam sidang media.

Hussein berkata, selepas membunuh mangsa, suspek mengerat dan menyumbat mayatnya ke bagasi, membawanya dengan motosikal untuk dibuang di lebuh raya.

Tetapi, seorang daripada tiga suspek itu masih bebas dan dipercayai meninggalkan Malaysia selepas melakukan jenayah terbabit.

Projek sungai

Hussein berkata, polis sudah merujuk laporan terhadap Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan exco Izham Hashim berhubung projek memperluaskan sungai bernilai RM700 juta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana ia di bawah bidang kuasa agensi antirasuah itu.

Laporan polis itu dibuat Ketua Penerangan Perikatan Nasional Selangor, Shukor Mustaffa semalam.

Beliau mendakwa Amirudin menyalahgunakan kuasanya kerana menganggotai lembaga pengarah Landasan Lumayan Sdn Bhd, syarikat yang diberikan projek itu. Amirudin bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.