
Di Johor, jumlah mangsa meningkat kepada 28,486 orang setakat 8 malam ini berbanding 26,633 orang petang tadi, dengan sebuah lagi PPS dibuka, menjadikan keseluruhan 198 PPS beroperasi di semua 10 daerah.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan, Segamat masih teruk terjejas dengan 2,933 keluarga dipindahkan ke 70 PPS, diikuti Kluang (1,485 keluarga/37 PPS), Kota Tinggi (761 keluarga/18 PPS), Johor Bahru (366 keluarga/tujuh PPS) dan Pontian (65 keluarga/empat PPS).
Turut terjejas Muar dengan 650 keluarga ditempatkan di 13 PPS, Kulai (167 keluarga/tiga PPS), Mersing (177 keluarga/enam PPS) dan Tangkak (335 keluarga/18 PPS) serta Batu Pahat (1,018 keluarga/22 PPS).
Di Pahang, sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,769 mangsa malam ini yang ditempatkan di 27 PPS berbanding 1,373 mangsa di 25 PPS, tengah hari tadi.
Bera menjadi daerah terbaru dilanda banjir apabila sebuah PPS dibuka petang tadi bagi menempatkan 29 mangsa, manakala Rompin terus merekodkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 1,068 orang di 13 PPS, diikuti Maran dengan 402 orang di lima PPS.
Seramai 106 mangsa berada di dua PPS di Pekan, manakala Jerantut (96 mangsa/1 PPS) dan Raub (68 mangsa/lima PPS).
Di Negeri Sembilan, Portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan 1,042 mangsa daripada 290 keluarga ditempatkan di 12 PPS setakat 8 malam tadi membabitkan Tampin dan Jempol, manakala dua PPS di Kuala Pilah ditutup 4 petang tadi.
Selain itu, Jabatan Kerja Raya negeri dalam kenyataan turut memaklumkan tiga laluan ditutup kepada semua kenderaan akibat dinaiki air, iaitu Jalan Londah-Pasir Besar (jalan ladang), Jalan Gemas-Seremban (Jambatan Sungai Kelamah) dan Felda Jelai 2-Pasir Besar (laluan utama).
Di Melaka, jumlah mangsa banjir kembali meningkat kepada 78 mangsa daripada 20 keluarga pada 8 malam tadi berbanding 49 mangsa daripada 15 keluarga pada 12 tengah hari tadi.
Sekretariat JBPN Melaka dalam kenyataan memaklumkan satu lagi PPS dibuka di Jasin pada 1 tengah hari tadi, iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mendapat yang menempatkan 30 mangsa daripada lima keluarga.
“Selain itu, PPS SK Chohong menempatkan 36 mangsa dari sembilan keluarga juga di Jasin, manakala 12 mangsa daripada enam keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Bukit Tambun di Alor Gajah.
“PPS SK Asahan ditutup 2 petang tadi, manakala SK Parit Penghulu baru dibuka 7.30 malam tadi dan dalam proses pemindahan mangsa,” katanya.
Di Sabah, bencana banjir pulih malam ini dan semua mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Sekretariat JPBN Sabah dalam kenyataan memaklumkan PPS terakhir di Dewan Mini Kampung Simpang Entilibon, Tongod yang menempatkan 108 orang daripada 24 keluarga ditutup petang tadi.