
Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali, berkata STAR akan meneliti laporan itu supaya segala ketirisan dan pembaziran dana kerajaan tidak berulang pada masa akan datang.
“Kita akan teliti bersama, bukan siasat. Kita akan cari jalan untuk perbaiki supaya jadi panduan di masa akan datang, supaya tidak mahu perkara itu berulang,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Hari Terbuka Putrajaya 2023.
Sementara itu, berhubung perincian fungsi STAR Zuki berkata ia akan dimaklumkan menerusi satu kenyataan rasmi minggu depan.
“Kita baru berbincang, kita akan buat kenyataan rasmi minggu depan,” katanya.
Terdahulu, beliau mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam mengambil tindakan segera terhadap ketirisan dan pembaziran dana kerajaan seperti didedahkan dalam LKAN.
LKAN 2021 Siri 2 diumumkan Khamis lalu mendedahkan pelbagai kepincangan dan kelemahan dalam sistem kerajaan yang mengakibatkan kerugian, ketirisan dan pembaziran wang rakyat.
Antara didedahkan, kehilangan atau kerugian wang awam, pembayaran tidak teratur, dan pembaziran sejumlah RM158.08 juta yang dikesan di tiga kementerian dan empat agensi persekutuan yang diaudit Jabatan Audit Negara.