
Pesuruhjaya Kehakiman, Azizan Arshad berkata, mahkamah tiada kuasa untuk campur tangan pengurusan dalaman Parlimen atau mana-mana DUN.
“Mahkamah mesti sentiasa memberi pengiktirafan terhadap doktrin pengasingan kuasa,” katanya.
Azizan menyampaikan keputusannya menerusi e-mel kepada peguam setiap pihak dalam saman itu berkata, imuniti itu datang daripada doktrin sekian lama yang memisahkan fungsi eksekutif, perundangan dan badan kehakiman.
Beliau berkata, campur tangan mahkamah dalam hal ehwal eksekutif atau perundangan akan “menjejaskan kebebasan ketiga-tiga cabang itu untuk bertindak mengikut bidang kuasa masing-masing” dan membawa kepada “percanggahan yang akan memusnahkan doktrin itu”.
Katanya, plaintif – Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Lazim (Telok Bahang) – gagal menunjukkan injunksi Erinford patut diberikan kepada mereka.
“Mahkamah dengan ini menolak permohonan plaintif,” katanya.
Usul mengosongkan kerusi empat Adun itu dijangka dibentangkan dalam sidang DUN 6 Mac ini.
Pada 20 Jan lalu, Azizan menolak saman Adun sama terhadap DUN dan Speaker Law Choo Kiang berhubung usul memaksa mereka mengosongkan kerusi.
Dalam keputusan itu, Azizan berkata, beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan tahun lalu yang mengesahkan peruntukan antilompat parti negeri seperti dinyatakan di bawah Perkara 14A perlembagaan negeri.
Azizan juga memutuskan beliau tiada kuasa membatalkan usul DUN dan speaker terhadap empat Adun itu.
Empat Adun itu memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan berkenaan, selain turut memfailkan injunksi Erinford untuk menghalang defenden membentangkan usul terbabit.
Empat Adun itu memfailkan tiga writ saman pada 2020 terhadap DUN dan speaker untuk mencabar usul yang dicadang pada Oktober 2020 bagi mengosongkan kerusi mereka dan pilihan raya kecil diadakan.