
Menteri Perhubungan dan Penerangan Singapura, Dr Janil Puthucheary, berkata dokumen disimpan dalam “Fail Albatros” itu akan dikeluarkan dalam sebuah buku mengenai Perjanjian Pemisahan Singapura daripada Persekutuan Malaysia, lapor portal Today Online.
Fail itu milik Dr Goh Keng Swee, yang dianggap sebagai salah seorang pengasas Singapura.
Puthucheary berkata, satu subset bahan itu adalah sebahagian daripada sebuah pameran awam.
“Satu set lebih besar dokumen dinyahklasifikasi akan dikeluarkan dalam buku yang akan diterbitkan akhir tahun ini,” katanya.
Dokumen itu termasuk kertas Kabinet dan nota mengenai perbualan Goh, timbalan perdana menteri Singapura dari 1973 hingga 1984, dengan pemimpin politik Malaysia.
“Fail Albatros” mendedahkan pandangan mengenai rundingan itu, sebahagian daripadanya melibatkan perdana menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew, dan rakan sejawatannya dari Malaysia, Tunku Abdul Rahman, yang memuncak dengan keputusan Singapura meninggalkan Persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965.
Pada 1980, Goh mendedahkan bahawa “albatros”, sejenis burung laut, merujuk kepada Malaysia.
Beliau dilaporkan berkata, Malaysia diharapkan akan membawa kemakmuran, pasaran bersama, keamanan dan keharmonian sebelum timbul kehampaan.
“Dan ia menjadi seekor ‘albatros’ di leher kami,” katanya, membawa maksud beban yang menyekat kemajuan Singapura.