
Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, “pelik” Anwar mengumumkan RM2 bilion penjimatan bagi projek itu apabila kerja pembinaan belum dimulakan.
“Saya rasa pelik sebab projek yang beliau nak tamatkan itu belum dimula pun, belum laksana pun… belum ada surat setuju terima pun, belum lantik kontraktor pun,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan di Dewan Rakyat.
Pada Jumaat, Anwar yang juga menteri kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023, mengumumkan kerajaan akan melakukan tender semula enam projek tebatan banjir, pada Jun.
Projek terbabit termasuk kerja tebatan di Sungai Johor dan Kota Tinggi, Johor, pembinaan takungan dwifungsi Sungai Klang-Sungai Rasau, Selangor, dan pembangunan lembangan sungai bersepadu Fasa 3 Sungai Golok, Kelantan.
Anwar berkata, kerajaan boleh menjimatkan RM2 bilion daripada peruntukan asal, RM15 bilion, bagi projek tersebut menerusi proses tender terbuka.
Pada 6 Dis 2022, Anwar mengarahkan beberapa kelulusan terakhir termasuk projek tebatan banjir berkenaan dibatal dan dihentikan serta merta, dengan pemberian projek itu sebelum ini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.
Katanya, adalah penting tidak terlalu terburu-buru meluluskan tender terus kerana menjurus pembaziran dana awam.
Tuan Ibrahim berkata, pembatalan atau penangguhan projek terbabit akan menyebabkan lebih banyak kerugian memandangkan kos pembinaan semakin meningkat.
Bekas menteri alam sekitar dan air itu berkata, penting projek tebatan banjir dilaksanakan secepat mungkin mengambil kira negara kehilangan antara RM5 ke RM7 bilion apabila dilanda bencana besar.
“Saya fikir saya perlu mendapatkan penjelasan (daripada perdana menteri)”.
Pada Ahad, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, tidak menjangkakan proses tender semula enam projek tebatan itu mengambil masa terlalu lama mengambil kira kawasan dan skop kerja sudah dikenal pasti.
Zahid, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (Nadma), berkata proses akan menjadi lebih pantas kerana kerajaan menggunapakai “proses tender terpilih”.
Proses tender terpilih membenarkan hanya kontraktor yang benar-benar mempunyai rekod baik menghantar tender atas jemputan.