Patuh peraturan, jangan paksa pengunjung, MB beritahu pengusaha khemah di PD

Patuh peraturan, jangan paksa pengunjung, MB beritahu pengusaha khemah di PD

Tindakan peniaga membuka deretan khemah walaupun tanpa kehadiran pengunjung akan menyebabkan mereka yang ingin beriadah di kawasan itu terganggu dan tidak selesa.

Aminuddin Harun berkata musim peperiksaan awam ketika ini dilihat antara punca Port Dickson kurang dikunjungi. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Pengusaha khemah sewa di kawasan peranginan atau pantai diminta mematuhi peraturan ditetapkan berhubung penyediaan perkhidmatan itu selain tidak memaksa pengunjung menyewanya.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, berkata tindakan peniaga membuka deretan khemah walaupun tanpa kehadiran pengunjung akan menyebabkan mereka yang ingin beriadah di kawasan itu berasa terganggu dan tidak selesa.

“Pengusaha kena faham apabila orang ramai turun ke pantai, mereka akan rasa terganggu, kita benarkan mereka pasang tapi kalau tak guna tutuplah, kalau ada nak guna, boleh buka balik selain tak memaksa orang untuk sewa khemah itu.

“Itu peraturannya tetapi mereka telah salah guna, itu yang menjadi masalahnya, mereka rasa ada kuasa, buka sesuka hati, akhirnya mereka yang rugi apabila tiada pelancong yang datang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco.

Terdahulu, media melaporkan terdapat rungutan segelintir pengunjung yang tidak selesa dengan deretan khemah sewa dipasang berhampiran pesisir pantai di Port Dickson sehingga mengganggu orang ramai beristirahat.

Beliau berkata, peniaga juga tidak boleh sewenang-wenangnya menjual barangan atau makanan di kawasan itu pada harga yang tinggi dan memberi peringatan agar mereka sentiasa menjaga adab.

Aminuddin juga berkata musim peperiksaan awam ketika ini dilihat antara punca Port Dickson kurang dikunjungi sehingga menimbulkan keresahan terutama dalam kalangan peniaga.

“Saya yakin Port Dickson akan pulih seperti biasa selepas ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adun Sikamat itu membayangkan kemungkinan mempertahan kerusi berkenaan pada PRN akan datang.

“Insya-Allah, kalau tak ada apa-apa di situlah… mengenai muka baharu, itu keputusan presiden, biasanya beliau akan minta beberapa nama termasuklah untuk Sikamat,” katanya.

Selain Negeri Sembilan, negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini ialah Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.